NAIM Daniel
Rudy Imran Shamsudin


Hanya selepas dua minggu dimuat naik di YouTube, single pertama Naim Daniel berjudul Sekali Lagi mencatat jumlah tontonan lebih sejuta.

Apa yang pasti, ia membuatkan Naim yang juga pelakon gembira, apatah lagi pada masa sama dia perlu bersaing dengan ramai penyanyi baru.

Sejak dimuat naik pada 31 Januari lalu, hingga hari ini ia sudah mencatat tontonan hampir 1.3 juta.

Melihat penerimaan yang cukup memberangsangkan itu, Naim benar-benar terkejut dan pada masa sama teruja apabila percubaan pertamanya itu diterima baik.

Naim berkata, pada minggu pertama dimuat naik di laman iTunes, ia berada di kedudukan kelima lagu dilanggan paling tinggi.

“Di YouTube pula, dalam tempoh seminggu ia muncul ‘trending’ kedua paling banyak,” katanya.

Pelakon filem Bisik Pada Langit ini berkata, dia dan syarikat rakamannya, World Peace Entertainment tidak meletakkan harapan tinggi untuk Sekali Lagi menjadi hit dengan menggunakan apa saja formula yang sering disebut penggiat muzik.

“Saya tidak mempunyai sebarang rahsia. Sebaliknya Sekali Lagi ini dihasilkan untuk menggambarkan jiwa saya pada genre muzik yang saya suka.

“Kami sudah mula mempromosikannya di Instagram bagi melihat maklum balas umum. Ternyata mereka memang menantikannya.

“Menerusi promosi awal yang dilakukan itu kami sudah nampak impaknya. Cuma ia menjadi bertambah besar apabila klip video Sekali Lagi dimuat naik di YouTube,” katanya.

Naim yang mula mencipta nama sebagai pelakon pada usia kanak-kanak berkata, memandangkan lagu Sekali Lagi menyelitkan mesej baik membuatkan ramai yang memberikan perhatian.

“Klip video Sekali Lagi juga mempunyai tarikannya. Sebelum ini ramai yang menganggap lagu ini adalah kisah cinta yang ditujukan kepada kekasih.

“Bagaimanapun, dalam klip video itu kita ada ‘twist’ plot apabila saya sebenarnya mahu memujuk ibu. Kebanyakan yang menontonnya turut merasai apa yang cuba saya ketengahkan dan mereka berkata klip video Sekali Lagi segar serta sesuatu yang baru,” katanya.

Pada waktu sama kelainan ditonjolkan itu juga membuatkan klip video itu menjadi hit di YouTube.

“Faktor lain ialah kerana kebanyakan lagu sekarang dilambakkan dengan tema cinta dengan pasangan masing-masing. Bagaimanapun, saya memaparkan tema cinta dan kasih sayang sesama ahli keluarga,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Februari 2018 @ 7:10 AM