Abam (tiga kanan) tersingkir minggu separuh akhir program Bintang Bersama Bintang. FOTO MOHD ASRI SAIFUDDIN MAMAT
Abam (tiga kanan) tersingkir minggu separuh akhir program Bintang Bersama Bintang. FOTO MOHD ASRI SAIFUDDIN MAMAT
Amirul Haswendy Ashari


PELAWAK popular, Abam Bocey terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada Achey, Issey, Ajak, Shuk dan Mark Adam selepas gagal mara ke peringkat akhir Bintang Bersama Bintang 2018 (BBB18) pada minggu depan.

"Saya akur dengan keputusan juri profesional dan undian atas talian tidak memihak kepada saya sejak minggu pertama sehingga semalam.

"Pada peringkat awal, saya merancang untuk menjuarai minggu keempat atau kelima lalu tapi nampaknya nasib tidak menyebelahi saya," katanya.

Dia tidak menafikan, pasangan gandingan yang sesuai memainkan peranan penting dalam menjayakan sebuah pementasan sketsa.

Pada peringkat separuh akhir BBB18 semalam, Abam bersama selebriti undangan, Syanie mempersembahkan sketsa cinta dan menyanyikan lagu Syurga Idaman yang diolah semula.

Walau pun gagal mara, Abam tetap berpuas hati dengan kerjasama diberikan Syanie yang disifatkan berjaya memberi 'momen' terbaik di luar jangkaannya.

Setiap minggu, BBB18 diadili dua panel juri diketuai oleh Apek membabitkan 70 peratus markah manakala undian atas talian sebanyak 30 peratus.

Hadiah mingguan sebanyak RM10,000 diberikan kepada pemenang mingguan.

Minggu akhir saingan memberi peluang kepada finalis merebut hadiah wang tunai RM100,000.

BBB18 bersiaran secara langsung dari Studio Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam setiap Ahad 10 malam di TV3.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Februari 2018 @ 11:45 AM