AKIM
KIGIRAN MASDO
PEMINAT teruja bergambar bersama Wany.
BARISAN artis teruja dengan sambutan luar biasa pengunjung Konsert GegaRia.


Lebih 5,000 penonton hadir memeriahkan Konsert GegaRia yang berlangsung di pekarangan Stadium Darul Makmur, Kuantan, Pahang, Sabtu lalu.

Pada acara kemuncak di lokasi terakhir GegaRia Fest anjuran Media Prima Berhad itu, penonton dihiburkan dengan persembahan artis popular tanah air seperti DeFam, Noh Salleh, Akim & The Majistret, Kugiran Masdo dan Bunkface.

Acara yang berkonsepkan moden, hipster dan penuh warna-warni itu menyaksikan majoriti penonton membabitkan belia seperti yang disasarkan penganjur.

Meskipun hujan renyai seketika, ia tidak menjejaskan kehadiran pengunjung sebaliknya mereka tetap bersemangat menunggu artis pujaan masing-masing membuat persembahan.

Lebih memberangsangkan, rata-rata pengunjung tidak segan menggoyangkan badan mengikut kumpulan penghibur di atas pentas dan menjadikan konsert terbabit terus gamat dengan telatah serta sorakan mereka.

Penonton yang hadir seakan-akan histeria apabila menunggu artis pujaan masing menyampaikan lagu hit mereka.

Ternyata semua barisan band yang menghangatkan lokasi terakhir ini wajar diberi pujian kerana berjaya menghimpunkan belia dalam acara yang julung kali diadakan.

Menurut vokalis Masdo, Ali Sariah, dia mengaku teruja dengan sambutan luar biasa pengunjung di semua lokasi.

“Terima kasih GegaRia Fest kerana menganjurkan ‘kenduri’ di Kuantan. Penganjuran ini juga berjaya menyatukan kita semua. Saya harap konsert ini dapat diteruskan pada masa akan datang dan menjadi acara tahunan.

“Ada rezeki jemput kami lagi ke GegaRia Fest,” katanya.

Kata Ali, Kehadiran Masdo di GegaRia Fest adalah bukti kehadirannya dalam arus perdana diterima baik peminat muzik tempatan.

“Ini adalah kemunculan sulung kami dalam acara hiburan yang menghimpunkan semua pencinta muzik.

“Sebelum ini, Masdo banyak membuat persembahan ‘underground’ dan kelompok kami tidak sebesar peminat arus perdana.

“Ternyata kehadiran kami diterima baik dan kami mengharapkan magis yang bakal menanti untuk berada sebaris artis popular sedia ada,” katanya yang menyanyikan lima lagu.

Bagi vokalis Hujan, Noh Salleh, dia melihat acara ini dapat mendekatkan hubungan Hujan dan peminat.

“Sepanjang terbabit di tiga lokasi GegaRia Fest, kami bertemu ramai peminat baru dan generasi muda.

“Meskipun usia Hujan sudah bertambah, muzik kami terus diminati dan menjadi siulan ramai. Diharapkan sokongan padu ini akan terus memartabatkan industri hiburan tanah air,” katanya.

Dihoskan Muaz dan Haiza KoolFM, GegaRia kali ini dimeriahkan artis popular lain termasuk Awal Ashaari, Scha Al-Yahya, Wany Hasrita, Elfira Loy dan Faiz Dickie yang membuat penampilan pada sebelah siangnya.

Penyanyi Wany Hasrita yang popular dengan lagu Menahan Rindu turut menghangatkan suasana.

Biarpun cuma hadir sejam, peminat tidak melepaskan peluang dan mengambil gambar dengannya.

Sempat mempersembahkan lagu hit nyanyiannya itu, penampilan Wany nyata berjaya menarik perhatian pengunjung.

Wany berkata, menerusi karnival itu, dia dapat bertemu peminat dengan lebih dekat.

“Seronok dapat menyanyi bersama pengunjung yang hadir. Acara ini memberi saya peluang beramah mesra dengan peminat.

“Lebih-lebih lagi golongan belia yang banyak menyokong kerjaya saya selama ini,” katanya.

GegaRia Fest turut menyajikan pelbagai aktiviti menarik di beberapa zon iaitu Zon Makan-Makan, Zon Throwback Tunnel, Zon Gaya Hidup, Zon Komuniti dan Zon Hiburan GegaRia.

Terdahulu, GegaRia Fest diadakan di Setia Alam, Selangor sebelum bertandang ke Johor Bahru.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Februari 2018 @ 12:47 PM