ANTARA babak dalam drama bersiri ini.
Syafil Syazwan Jefri


Bagi peminat drama bersiri bergenre komedi dan aksi, kehadiran siri Barry yang akan ditayangkan di HBO pada 26 Mac ini semestinya dinantikan.

Ditayangkan serentak dengan waktu di Amerika Syarikat, Barry akan bersiaran pada jam 10.30 pagi dan diulang tayang pada jam 11.30 malam hari yang sama.

Berdurasi 30 minit, Barry yang dibintangi Bill Hader mengisahkan mengenai bekas tentera laut bernama Barry yang menjalankan tugas sebagai pembunuh upahan.

Sunyi dan tidak berpuas hati dengan kehidupannya, dia berhijrah ke Los Angeles selepas ditugaskan membunuh seseorang.

Namun, secara tidak sengaja, dia bertemu komuniti penggiat teater di bandar itu, sekali gus timbul minat untuk turut serta.

Adakah dia akan meneruskan tugasnya sebagai pembunuh upahan? Adakah mudah untuknya menyembunyikan identiti dan meneruskan kehidupan dalam bidang seni?

Barry adalah hasil karya Bill yang bekerjasama dengan Alec Berg.

Menurutnya, ia hasil idea perbincangan mereka.

“Ketika saya sedang duduk bersama Alec, kami berbincang mengenai jalan cerita yang bersesuaian.

“Saya pernah melakonkan beberapa watak dramatik sebelum ini dan ingin melakukan sesuatu yang sedikit berbeza,” katanya.

Selain Bill Hader, Barry juga dibintangi beberapa pelakon hebat lain antaranya Henry Winkler, Stephen Root, Sarah Goldberg, Anthony Carrigan dan Glenn Fleshler.

Untuk musim pertama, Barry akan ditayangkan sebanyak lapan episod.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Mac 2018 @ 5:15 AM