DR Paul Kersey lakonan Bruce Willis.
Syafil Syazwan Jefri

Bagi peminat filem aksi yang memaparkan elemen kekeluargaan, tentunya filem Death Wish lakonan bintang hebat Bruce Willis sesuai dijadikan bahan tontonan.

Ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula semalam, Death Wish mengisahkan mengenai pakar bedah, Dr Paul Kersey yang bahagia bersama isteri dan anak perempuannya.

Namun, kebahagiaannya diragut apabila kediamannya diceroboh ketika dia sedang menyelamatkan nyawa pesakit di hospital.

Pada awalnya, penjenayah yang menceroboh kediaman keluarga Kersey hanya ingin merompak, namun insiden itu menjadi lebih parah apabila isterinya dibunuh dan anaknya pula koma.

ELISABETH Shue dan Camila Morrone sebagai keluarga Kersey.

Dengan bantuan polis, Paul cuba sedaya upaya mencari dan menyiasat siapakah dalang di sebalik tragedi yang menimpa keluarganya.

Tidak sekadar mahu berdiam diri, Paul mula mengambil langkah sendiri untuk menjejak penyerang yang menyerang keluarganya itu.

Death Wish arahan Eli Roth adalah filem yang dibuat semula berdasarkan filem asal lakonan Charles Bronson pada 1974.

Apa yang boleh dihuraikan, berbanding filem asal yang diadaptasi daripada novel dengan judul sama karya Brian Garfield yang diterbitkan pada 1972, Death Wish versi 2018 disesuaikan dengan budaya serta kehidupan masyarakat hari ini.

BABAK ngeri dan mendebarkan.

Sedikit sebanyak, ia menerapkan mengenai orang yang tidak bersalah yang menjadi mangsa jenayah berat.

Eli selaku pengarah dalam satu temu bual berkata, pihak produksi memilih Bruce sebagai teraju utama atas beberapa sebab.

“Kami ingin membawa kembali Bruce sebagai teraju utama yang hebat dan klasik. Kami yakin, semua penonton sukakan lakonannya,” katanya.

Menurutnya, watak Dr Paul Kersey itu sendiri adalah gabungan daripada beberapa watak Bruce dalam filem-filem lakonannya sebelum ini.

“Saya sendiri ingin melihat Bruce yang membawakan karakter seperti dalam filem Fifth Element, Unbreakable dan Die Hard,” katanya.

ELI selaku pengarah filem Death Wish.

Menurut Eli, dia juga menyajikan babak pembunuhan yang luar biasa dan belum pernah dipaparkan dalam filem lain.

“Apa yang pasti, saya berikan sesuatu yang orang akan terus bercakap walaupun selepas beberapa tahun,” katanya.

Selain Bruce, Death Wish juga membariskan beberapa pelakon hebat lain antaranya Vincent D’Onofrio, Elisabeth Shue, Camila Morrone dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Mac 2018 @ 5:24 AM