JOEY
Ramlah Zainal

Bakatnya dalam bidang nyanyian mula digilap komposer terkenal Datuk M Nasir pada 1992.

Malah, Joey atau pemilik nama sebenar, Zulkifli Daud sempat menghasilkan album bersama M Nasir pada 1990-an.

Namun, kata penyanyi yang dikenali menerusi lagu Beradu Suratan, dia terpaksa memperlahankan aktiviti nyanyian kerana berdepan dengan masalah tonsil yang teruk pada 2005.

“Mungkin ramai yang tidak tahu, saya adalah artis pertama yang bernaung di bawah M Nasir dulu. Saya terpaksa berhenti menyanyi apabila hilang suara akibat masalah tonsil itu.

“Saya mula mendapat masalah tonsil sejak terbabit dalam bidang lakonan. Maklumlah, teknik nyanyian dan lakonan adalah dua cabang seni berbeza. Bagaimanapun, saya percaya apa yang berlaku ada hikmah di sebaliknya. Kini, saya dapat kembangkan bakat dalam bidang lakonan pula,” katanya.

Joey ditemui pada program Fit Hasil bersama Lembaga Hasil Dalam Negeri yang berlangsung di Akademi Percukaian Malaysia, Bandar Baru Bangi, baru-baru ini.

Bagaimanapun, kata suami kepada penyanyi dan pelakon Watie Sadali ini, cintanya tetap pada bidang nyanyian sampai sekarang.

“Saya masih menaruh harapan untuk kembali menyanyi seperti dulu. Insya-Allah, jika ada rezeki, saya merancang untuk muncul dengan single baru bagi mengubat kerinduan peminat nanti,” katanya.

Joey juga mengakui ramai peminat yang lebih mengenalinya sebagai pelawak berbanding penyanyi.

Malah, dia juga banyak mendapat tawaran menjayakan program komedi dan lawak ketika ini. Antaranya, program Maharaja Lawak Mega bersama bersama Acong (Sweet Child).

Terbaru, Joey menjadi artis undangan penyanyi Mark Adam dalam program realiti TV, Bintang Mencari Bintang yang bersiaran di TV3.

“Alhamdulillah, saya menjadi pelawak untuk menghiburkan orang dan ia juga terapi diri.

Mungkin, saya kurang popular, tetapi rezeki dalam bidang lakonan tidak pernah putus.

“Agenda seni juga padat sampai Ogos tahun ini. Ia juga rezeki saya untuk menyara keluarga,” katanya.

Selain itu, Joey juga terbabit dalam projek filem Rock Sangkut bergandingan dengan Mawi, Along dan Hazama.

Mengulas mengenai program Fit Hasil pula, kata Joey, dia tetap meluangkan masa walaupun agenda seninya padat.

“Saya dapat meluangkan masa dengan peminat menerusi aktiviti turun padang ini.

“Mengenai isu cukai membabitkan golongan artis pula, saya berharap ada kadar yang sesuai untuk golongan artis kerana pendapatan kami tidak tetap. Pada masa sama, artis yang berumur dan sakit pula perlu dikecualikan dari membayar cukai,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Mac 2018 @ 3:08 AM