MULA kembara dengan jelajah Iran, Bosnia dan Macedonia, bulan depan.
MULA kembara dengan jelajah Iran, Bosnia dan Macedonia, bulan depan.
Syafil Syazwan Jefri


Pada usia 34 tahun, penyanyi dan komposer Hafiz Hamidun selesa melakukan beberapa hal yang belum pernah dilaluinya sepanjang hidup.

Terbaru, Hafiz menyasarkan mengeliling dunia bermula dengan beberapa negara antaranya Iran, Bosnia dan Macedonia.

“Ini salah satu impian saya. Memandangkan saya kini ada lebih banyak masa untuk diri sendiri, ia harus dimanfaatkan dengan melancong.

“Saya akan bermula dengan ke Iran, Bosnia dan Macedonia. Insya-Allah, kalau semuanya berjalan lancar jelajah akan bermula April ini,” katanya.

Menurut penyanyi lagu Jodoh Berdua itu, tujuan penjelajahannya adalah untuk melihat dunia dan mencari pelbagai ilmu baru.

“Lebih banyak tempat yang kita lawati, lebih banyak pengalaman dan ilmu akan kita dapat. Itulah tujuan utama saya.

“Ada lokasi saya pergi seorang diri dan ada juga yang membabitkan peminat,” katanya.

Selepas berpisah dengan bekas isteri, Joy Revfa, Hafiz mengakui emosinya mudah tercuit dan kebanyakannya diterjemahkan dalam lagu.

“Ada yang bertanya adakah lagu yang saya cipta antaranya Cinta Bukan Mainan nyanyian Mirwana, Terbuang Dalam Pelukan nyanyian Bob Yusof dan Mimpi untuk Liza Hanim adalah berdasarkan perasaan saya.

“Saya sendiri tak pasti. Mungkin ada benarnya. Apa yang pasti sejak bercerai saya semakin beremosi dalam banyak hal namun masih mampu dikawal,” katanya.

Tambah Hafiz, ada juga beberapa teman takut untuk bertanya mengenai keadaannya selepas berpisah dengan bekas isteri walhal dia boleh bersikap terbuka.

“Ada yang berfikir sama ada sesuai atau tidak soalan berkaitan perceraian diajukan kepada saya. Bagi saya, fokus kepada bekas isteri sudah tiada dan saya kini memulakan fasa baru dalam kehidupan,” katanya.

Selepas empat bulan berpisah, Hafiz mengakui tidak mudah untuk meneruskan kehidupan.

“Orang luar mungkin nampak seperti semuanya mudah. Tapi, untuk saya yang melaluinya, ia bukanlah sesuatu yang mudah,” katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, ada ketikanya dia sunyi dan tersentuh lebih-lebih lagi melihat rakan dan adik-beradiknya bahagia di samping pasangan masing-masing.

“Bila saya sunyi dan sebagainya, saya akan hubungi ibu dan bercerita banyak benda. Mengenai kehidupan selepas bercerai, ibu dan ayah banyak beri kata-kata semangat.

“Saya seorang yang sibuk dengan kerja tetapi sekarang banyak masa saya habiskan dengan mereka. Ibu sumber kekuatan dan ayah pula sumber keberanian.

“Saya berikan kunci rumah kepada mereka dan pintu rumah saya sentiasa terbuka untuk mereka,” katanya.

Ditanya sama ada dia kini bersedia menerima cinta hati baru, Hafiz tidak menolak.

“Saya tidak ada masalah untuk menerima cinta baru. Namun, biarlah wantia itu memahami saya dan tahu apa yang pernah saya lalui,” katanya.

Terbaru, Hafiz hadir dengan single terbaru berjudul Jangan Berhenti ciptaan komposer Azlan Abu Hassan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Mac 2018 @ 9:20 AM