Norhayati Nordin
yati@hmetro.com.my


“SAYA harap tidak ada lagi pertanyaan daripada media mengenai isu putus tunang yang sudah berlalu itu,” demikian kata penyanyi, Sufian Suhaimi berkenaan isu putus tunang dengan pelakon, Elfira Loy.

Sufian berkata, dia tidak mahu dianggap orang yang memanjangkan cerita itu.

“Tolong hentikannya, apapun, saya mohon maaf. Saya juga mengharapkan tiada spekulasi lain ditimbulkan mana-mana pihak berhubung isu ini lagi,” katanya.

Tambah Sufian, dia menafikan dakwaan yang mengatakan penyanyi lagu Terakhir itu menggunakan isu peribadi bagi mempromosikan single terbarunya.

"Saya menafikan dakwaan yang mengatakan saya terus menggunakan isu peribadi untuk mempromosikan single baru, Di Matamu yang akan dilancar pada 23 Mac ini," katanya.

Sufian, 26, yang secara rasmi putus tunang dengan pelakon Elfira, 24, pada 18 Februari lalu turut menafikan ia adalah balasan buat dirinya atas kesilapan dalam hubungan yang terdahulu.

"Bagi saya, apa yang dilalui itu adalah cara Tuhan menegur dan beri peringatan kepada saya. Bahkan, pada masa sama saya juga yakin ada hikmah yang baik buat saya nanti," katanya.

Ditanya juga sama ada dia sedia bersemuka dengan Elfira di dalam satu majlis hiburan, Sufian berkata dia tidak ada masalah dan boleh bersikap profesional memandangkan industri hiburan tanah air pun kecil.

Selain itu, Sufian memberitahu dia juga tidak akan menutup hati untuk menerima cinta baru meskipun bukan dalam tempoh sekarang.

"Soal jodoh ketentuan Allah SWT. Saya tidak ada jawapan untuk mengatakan tidak akan bercinta lagi pada masa akan datang.

"Seandainya akan bertemu jodoh juga dengan individu yang membina kerjaya dalam industri seni, saya terima apa yang sudah ditetapkan Allah SWT," katanya.

Selain single terbaru Di Matamu yang kini tular di platform digital dan media sosial, Sufian juga makin popular dengan lagu Terasa Ada.

Sufian dan Elfira bertunang pada 6 Oktober tahun lalu dan sepatutnya majlis bersejarah mereka berlangsung pada bulan ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Mac 2018 @ 7:36 PM