AMIRA Othman. FOTO Nurul Syazana Rose Razman
Syafil Syazwan Jefri
syafil.syazwan@hmetro.com.my


PENYANYI dan pelakon, Amira Othman, 25, memberikan masa dua tahun lagi buat dirinya sebelum menamatkan zaman bujang dan tidak menolak untuk menerima jodoh yang dipilih ibu bapanya.

"Tahun ini, umur saya dah 25 tahun. Sasaran saya untuk menamatkan zaman bujang adalah pada umur 26 atau 27 tahun.

"Kalau masuk ke umur 26 tahun dan saya masih belum bertemu kekasih, saya akan serahkan kepada kedua-dua ibu bapa saya untuk mencari jodoh buat saya," katanya kepada Harian Metro.

Bagaimanapun, penyanyi lagu Hati Hati itu menegaskan bahawa dia tidak mahu terlalu tergesa-gesa.

"Saya bukanlah tergesa-gesa, kerana takut juga kalau orang yang saya kenal nanti, tidak sesuai untuk saya.

"Kerana itulah saya yakin, kalau ibu bapa yang carikan mereka semestinya ada naluri sendiri dan akan cari yang terbaik untuk anak mereka," katanya.

Amira bagaimanapun memberitahu, dia lebih selesa sekiranya pasangannya kelak bukanlah orang-orang yang berada di dalam industri.

Ditanya mengenai hubungannya dengan bekas kekasihnya, penyanyi, Azhar Osman yang kini sudah memiliki cinta hati baru, Amira berkata dia tumpang gembira.

"Saya dengan dia tidak ada sebarang masalah. Sebelum ini, ketika saya adakan majlis pelancaran lagu baru saya, Mimpi Indah, saya ada menjemputnya dan teman wanitanya.

"Bila tengok dia bahagia, saya pun tumpang gembira dan kami pun memang masing-masing sudah 'move on'," katanya.

Amira berkata, dia hanya mampu merancang, namun semuanya bergantung kepada perancangan Allah SWT yang tentunya lebih baik.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Mac 2018 @ 6:53 PM