SABRI Yunus. FOTO Aziah Azmee
Georgie Joseph
georgie@hmetro.com.my


PELAKON Sabri Yunus, 57, tidak terfikir untuk menokok tambah elemen tidak masuk akal dalam telefilem Pok Ya Siti Di Hati semata-mata demi memancing penonton.

Bakal membuat penggambaran sambungan kepada telefilem Pok Ya Cong Codei yang tular awal tahun ini, menurutnya dia mahu mengekalkan jati diri watak Pok Ya lakonannya itu.

“Paling penting buat saya dalam berkarya adalah jujur. Saya tidak terfikir pun untuk menambah nilai-nilai yang tidak berkenaan dalam telefilem itu nanti.

“Bagi saya, kesukaran sebenar adalah untuk terus mengekalkan jati diri Pok Ya sebagaimana dalam telefilem terdahulu. Saya mahu watak itu terus diterima seperti mana penonton menerimanya sebelum ini.

“Saya tidak mahu mencipta cerita yang bertujuan untuk mencari popular semata-mata. Jauh sekali untuk memikirkan agar naskhah itu akan terus menjadi tular,” katanya.

Sabri juga mengatakan dia tidak perlu tertekan untuk menjadikan cerita itu lebih baik demi memenuhi permintaan penonton.

Menurutnya, dimensi cerita itu yang berkisar mengenai persiapan menjelang raya sendiri sudah berbeza dan suasananya lain.

“Saya akan menggambarkan suasana sebenar dari waktu berpuasa sehinggalah persiapan malam raya di Kelantan. Jadi tarikan untuk cerita daripada sudut itu sudah berbeza,” katanya.

Januari lalu, telefilem Pok Ya Cong Codei menjadi tular disebabkan nama Hotel Concorde yang dieja dan disebut Pok Ya sebagai Cong Codei sehingga menjadi ikutan penonton serta trending di laman sosial.

Telefilem itu turut dibintangi Mustapha Kamal, Uqasha Senrose, dan Fikri Ibrahim.

Beberapa pelakon lain termasuklah Sasqia Dahuri, Issey, dan Wan Hanafi Su juga terbabit dalam sekuel Pok Ya Siti Di Hati yang dijangka akan ditayangkan pada pertengahan Mei nanti di saluran Citra (astro 131), dan Mustika HD (Astro 134).

Berita berkaitan

Tunggu 'Pok Ya Cong Codei Raya' pulok deh!

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Mac 2018 @ 7:24 PM