FIRDAUS pertaruh filem seram romantik dan sedikit sentuhan komedi.
Ramlah Zainal


Bermula dengan kerja belakang tabir, pelakon Firdaus Nadxaman kini bergelar produser filem menerusi produksi miliknya, Guam TeamWork Sdn Bhd.

Menurut Firdaus, 28, filem Langsuir adalah projek sulung terbitan produksinya dengan kerjasama Nuansa Films.

Filem yang mendapat sentuhan sutradara terkenal Osman Ali itu menyaksikan gandingan mantap Shafik Kyle dan Hannah Delisha.

Firdaus berkata, selaku produser, dia tertarik mengetengahkan genre seram romantik dan sedikit sentuhan komedi dalam filem Langsuir.

“Saya sudah terbabit dengan kerja belakang tabir sejak berusia 18 tahun.

“Langsuir adalah projek pertama saya selaku penerbit eksekutif kerana sebelum ini syarikat lebih kepada bisnes pembinaan dan hartanah.

“Projek filem ini tidak akan berjaya tanpa keyakinan dan hubungan baik saya dengan Abang Osman selama ini,” katanya.

Menurut Firdaus, barisan pelakon berguru dengan pelakon dan pengarah Ellie Suriaty sebelum penggambaran bermula.

“Saya serahkan 100 peratus kepada Osman untuk mengarah filem ini dan berpuas hati dengan hasil kerja pasukannya.

“Penggambaran yang berlangsung di Pulau Langkawi, Kedah sudah pun selesai,” katanya.

Babak rogol dalam Langsuir

Pembabitan Firdaus dalam bidang lakonan bermula sejak tiga tahun lalu.

Antaranya, dia menjayakan watak kecil dalam filem arahan Osman Ali seperti Jiwa Taiko, Sejoli, Langit Cinta, Pinjamkan Hati, Jwanita dan Sinaran.

Terbaru, Firdaus diberi kepercayaan oleh Osman untuk melakonkan watak antagonis iaitu Zaman dalam filem Langsuir.

“Zaman anak orang kaya yang suka mempermainkan perasaan wanita. Pantang nampak perempuan cantik dia pasti cuba dapatkan.

“Watak ini mencabar lebih-lebih lagi ada babak merogol langsuir di kawasan belukar.

“Saya gugup dan risau melakukan babak itu tapi dengan bantuan pengarah serta heroin, ia berjaya dilakonkan sebaik mungkin,” katanya.

Bagaimapun, kata Firdaus, dia berharap projek filem sulungnya itu akan mendapat sambutan di pawagam nanti.

“Cerita ini ada kekuatan tersendiri untuk menarik penonton ke panggung,” katanya.

Filem Langsuir akan mula menjengah pawagam seluruh tanah air bermula 21 Julai nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Mac 2018 @ 9:23 AM