Penyanyi, Nur Fazura ketika menjayakan showcse 'One Music Live Session Fazura' di Le Meridien Hotel, Kuala Lumpur. FOTO Salhani Ibrahim
Amirul Haswendy Ashari.


“SAYA terharu dan bersyukur dengan kehadiran peminat dan langsung tidak menyangka ia akan seramai ini,” kata pelakon dan penyanyi, Nur Fazura, usai 'showcase' One Music Live Session: Fazura yang bertempat di Clarke Ballroom, Hotel Le Meridien Kuala Lumpur, petang tadi.

Difahamkan, lebih 400 peminat hadir menonton persembahan selebriti popular itu.

"Sambutan ini membuatkan saya lebih bersemangat dan tidak sabar untuk meneruskan persembahan di beberapa lokasi lain di luar Kuala Lumpur seperti Johor Baharu, Kuantan dan Pulau Pinang, selepas ini," kata penyanyi lagu Sayangi Diri Mu ini.

Pada persembahan yang berlangsung selama satu jam itu, Fazura menyampaikan lapan buah lagu baru dan lama yang dimuatkan dalam album pertamanya yang sudah pun dilancarkan pada 3 November tahun lalu.

Selain menjemput Aizat Hamdan berduet menerusi lagu Cinta Langka, suaminya, pelakon Fattah Amin turut membuat persembahan kejutan yang dirancang awal sebagai hadiah kepada peminat melalui lagu duet bersama berjudul Cinderella.

Fazura turut akui terkejut apabila diumumkan album pertamanya itu berjaya dijual lebih 6000 salinan dan lebih lima juta kali 'streaming'.

Melihat pada sambutan menggalakkan, dia bakal muncul dengan album kedua yang bakal mengandungi lagu duet kolaborasi bersama Anggun dan Once.

Showcase ini dibawakan oleh One Music, satu aplikasi di mana peminat boleh aktif di sosial media sambil mendengar lagu-lagu melalui streaming.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Mac 2018 @ 8:46 PM