KONSERT turut raikan pembabitannya dalam seni selama 30 tahun.
Rudy Imran Shamsudin


Kali terakhir tampil mengadakan konsert di Kuala Lumpur ialah pada 2011 di Kuala Lumpur Convention Centre dan selepas tujuh tahun penyanyi legenda terkenal Indonesia Ruth Sahanaya akan kembali lagi.

Penyanyi yang cukup popular dengan lagu Kaulah Segalanya itu dijadualkan mengadakan konsert solo di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) pada 21 Mac ini, jam 8.30 malam.

Lebih istimewa konsert itu akan meraikan 30 tahun pembabitannya sebagai seorang diva pop, soul dan R&B di rantau Nusantara.

Pastinya ini peluang terbaik buat peminat Ruth melepaskan rindu menyaksikan persembahannya yang bakal diiringi pemuzik dibawa khas dari negara seberang dan bergabung dengan pemuzik Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO).

Dalam kenyataan diberikan membabitkan konsert bakal berlangsung, Ruth menjelaskan dia rindu beraksi di Malaysia dan bertemua peminat setianya.

“Saya teruja untuk mengadakan persembahan di DFP. Sebaik tawaran datang saya terus bersetuju,” katanya.

Tambahan pula kata Ruth, kali ini dia juga bekerjasama dengan MPO yang bakal dipimpin Ahmad Muriz Che Rose selaku pengarah muzik.

Konsert ini akan menyerlahkan versatiliti MPO dalam mengalunkan bukan hanya genre muzik klasikal Barat tetapi juga pop dan R&B. MPO dan DFP bakal meraikan ulang tahun ke-20 pada Ogos ini.

Ruth memulakan kariernya pada lewat 80-an dan namanya meledak melalui lagu Kaulah Segalanya yang mendapat tiga anugerah platinum dan Kasih (dua anugerah platinum).

Ruth turut mengukuhkan kedudukannya dalam arena muzik Asia dan sering terpilih mewakili Indonesia ke festival muzik antarabangsa. Beliau juga pernah memenangi beberapa anugerah berprestij dalam bidang muzik.

Pastinya corak persembahan Ruth di DFP dinantikan berdasarkan berpengalamannya bekerja dengan pemuzik dan orkestra terkenal dunia antaranya menjadi tetamu jemputan konsert Mario Frangoulis di dewan ikonik Herodes Atticus, Acropolis di Athens, Greece serta beraksi di samping penyanyi R&B Amerika Eric Benet dan peniup saksofon jaz Jeff Kashiwa.

“Saya melakukan persiapan rapi untuk konsert ini, lebih-lebih lagi membabitkan seleksi lagu yang bakal didendangkan buat peminat yang akan hadir pada malam itu nanti,” katanya.

Jelas Ruth lagi, pastinya lagu popularnya di sini menjadi pilihan utama untuk didendangkan termasuk Kaulah Segalanya, Memori, Selamanya, Merenda Kasih, Ingin Kumiliki, Gitaku dan Keliru.

Ruth yang pernah membuat persembahan pada konsert amal Force of Nature di Kuala Lumpur pada 2005 bersama Boyz II Men, Black Eyed Peas dan Lauryn Hill untuk mangsa tsunami Indonesia turut menjelaskan pastinya persembahan kalinya ini ada sedikit perbezaan dengan apa yang pernah diketengahkan sebelum ini.

Bagi mereka yang ingin menyaksikan persembahan penyanyi kelahiran Bandung, Indonesia itu tiket boleh ditempah dengan harga RM380, RM270, RM210 dan RM150.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Mac 2018 @ 12:22 PM