Nasir Bilal pada sidang media Bocey & Friends live di Comedy Planet. FOTO ROSDAN WAHID
Ardini Sophia Sina


“DALAM dunia komedi, mereka lebih lama,” kata pelakon veteran, Nasir Bilal Khan apabila status senioriti disentuh dalam pembabitannya menerusi sitkom Bocey & Friends Live.

Katanya pelakon yang terkenal dengan watak Tok Adi itu, dia menerima tawaran untuk menjadi Tukang Buka Panggung kerana percaya, ada mesej positif yang boleh disampaikan menerusi komedi.

“Saya seorang pelakon yang melakonkan sesebuah watak itu berdasarkan skrip. Saya mungkin orang lama tetapi apabila bercakap mengenai komedi, saya adalah orang baru dan perlu banyak belajar daripada Bocey.

“Pertama kali muncul di pentas komedi adalah bersama Shiro di pentas Maharaja Lawak. Ini adalah kali kedua saya terbabit dengan program seperti itu. Saya teruja dapat bersama sama menjayakan program ini,” katanya.

Sering membawakan watak-watak serius seperti dalam filem Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam dan Niyang Rapik, hakikatnya, Nasir adalah seorang yang suka melawak.

"Saya banyak membawakan watak antagonis. Dalam filem baru Munafik 2 pun saya pegang karakter pengamal ajaran sesat. Saya tidak kisah dibenci andai ia membawa mesej kepada umum.

"Bagaimanapun, saya sebenarnya seorang yang suka bergurau dan mengusik kawan-kawan. Ia menjadikan hubungan itu lebih rapat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Mac 2018 @ 7:24 PM