FAREZ Ridzwan.
FAREZ Ridzwan.
Najiy Jefri

Kehadiran Farez Ridzwan dalam bidang lakonan semakin mendapat tempat di hati peminat.

Ramai mula sedar kewujudannya selepas wajahnya kerap menghiasi kaca televisyen. Antara drama yang pernah dibintanginya adalah Dendam Aurora, Hero Seorang Cinderella dan Dia Semanis Honey.

Kata Farez, dia mula beraksi depan kamera lima tahun lalu.

“Saya bermula dengan filem Tokan pada 2013 sebagai pelakon tambahan. Pada masa itu saya aktif dalam dunia peragaan.

“Sejak itu, satu demi satu tawaran berlakon hadir dan berterusan hingga ke hari ini,” katanya.

Mengakui teruja apabila kehadirannya semakin mendapat tempat, jejaka berusia 24 tahun itu tidak pernah meletakkan sebarang syarat kepada syarikat produksi.

Kata Farez, dia tetap akan mempertimbangkan setiap tawaran mengikut kemampuan dan kesesuaian.

“Saya tidak boleh kaut semua tawaran secara melulu. Perlu ukur juga dengan kemampuan diri, kalau yakin boleh bawa barulah saya terima.

“Bukan apa, sekiranya gagal menggalas amanah itu, sudah pasti ia akan menimbulkan masalah kepada pelakon lain pula. Maklumlah, berlakon membabitkan banyak pihak. Jadi, kita tidak boleh fikir diri sendiri sahaja.

“Lagipun, saya mahu setiap watak yang dilakonkan meninggalkan impak positif supaya momentum sebagai pelakon berjalan dengan baik,” katanya.

Meskipun semakin disimbahi cahaya populariti, pemilik nama sebenar Muhammad Farez Ridzwan Mod Nadzef itu tidak pernah meletakkan populariti sebagai tanda aras pencapaiannya dalam dunia lakonan.

“Saya berlakon atas dasar minat. Seboleh-bolehnya, saya mahu orang menilai saya kerana bakat.

“Tujuan asal saya masuk bidang ini bukanlah untuk mengejar populariti. Saya percaya apabila kita berjaya menonjolkan bakat, orang akan mula buka mata dan mahu mengenali kita dengan lebih dekat,” katanya.

Siapa sangka, kerap membawakan watak jejaka korporat anak kelahiran Banting, Selangor itu berharap diberikan watak yang memerlukan babak aksi.

Baginya, karakter sebegitu akan membuka lebih ruang kepadanya untuk pergi lebih jauh sebagai pelakon.

“Saya sebenarnya lebih suka bawa watak aksi. Mungkin lebih kena dengan jiwa.

“Menarik juga jika bawa watak lelaki psiko kerana saya sukakan karya berat,” katanya yang mengharapkan rezekinya dalam arena seni terus melimpah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Mac 2018 @ 2:17 AM