Tash selesa GG selaku pengurus kerana rajin mencari penaja. FOTO IG
Tash selesa GG selaku pengurus kerana rajin mencari penaja. FOTO IG
Norhayati Nordin


PELAKON Tash Yong, 28, menafikan dia mempunyai hubungan istimewa dengan pengurusnya, GG.

Tash atau nama sebenar Nur Natasha Shazlia Rosli berkata hubungannya dan GG bagaikan saudara.

"Jijie bukan saja pengurus tetapi dia juga anak angkat keluarga saya. Ibu bapa dan adik-beradik saya pun rapat dengan GG.

"Jadi, tolong hentikan dakwaan tidak berasas mengenai kami. Memang tidak ada hubungan istimewa pun.

"GG hanya uruskan jadual lakonan saya termasuk dapatkan penaja 'wardrobe' untuk penggambaran," katanya.

Tash berkata dia masih waras dan sangat menjaga nama baik keluarga.

Ujarnya lagi, dia tidak tahu kenapa isu ini perlu timbul kerana ada ramai juga selebriti lain menggunakan khidmat pengurus wanita.

"Tolong, jangan mudah adili orang lain hanya kerana perwatakan diri mereka. Tidak semua orang, sama seperti apa yang kita fikir.

"Buang jauh persepsi negatif yang skeptikal kerana lebih bagus doakan yang baik-baik saja," katanya.

Pelakon drama Dia di TV3 ini berkata dia selesa GG menjadi pengurus kerana sikap rajin mencari penaja terutama untuk 'wardrobe' bagi tujuan penggambaran.

"Untuk 'wardrobe', saya lebih selesa cari tajaan sendiri kerana inginkan pakaian selesa dan sesuai dengan imej watak dilakonkan.

"Sebagai pelakon, penampilan imej perlu diutamakan dan saya mahu ia seiring dengan watak dibintangi. Apatah lagi, penonton kini sangat bijak menilai," katanya.

Tash yang baru lima tahun aktif berlakon kini sibuk di lokasi drama Geng Tadarus dan Ustazah Pencen untuk RTM.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Mac 2018 @ 12:14 PM
Digital NSTP Subscribe