KILAFAIRY.
Syafil Syazwan Jefri

Nama pelakon dan penyanyi, Kilafairy tidaklah terlalu ‘meletup’ jika dibandingkan dengan selebriti lain seusianya.

Namun, sedar atau tidak, tahun ini sudah masuk tahun keenam anak penyanyi Rohana Jalil ini membabitkan diri dalam bidang hiburan.

Tidak terlalu memikirkan mengenai populariti, dia yang mesra disapa Kila memilih untuk melakukan setiap langkah dalam industri hiburan dengan bersederhana.

“Sasaran saya mudah saja iaitu berada di tengah-tengah dan secara sederhana. Mungkin nama saya tidak terlalu popular, tetapi tidak juga hilang.

“Saya bersyukur kerjaya seni saya terus stabil baik dalam lakonan atau nyanyian. Masuk tahun keenam ini apa yang boleh saya katakan ia stabil dan seimbang,” katanya.

Kila yang kini berusia 26 tahun tidak menolak sekiranya ada rezeki di antara karya hasil penat lelahnya, membuatkan namanya mendadak naik.

“Kalau secara tiba-tiba drama atau lagu meletup, saya tak tolak kerana itu saya anggap sebagai rezeki,” katanya.

Kila juga mengambil peluang mengucapkan terima kasih kepada ibunya yang banyak memberikan idea dan nasihat.

“Mama banyak pengalaman dalam bidang hiburan. Sedikit sebanyak ada pengaruhnya yang saya bawa sebagai anak seni.

“Kalau dari segi muzik contohnya, dia akan memberikan cadangan genre dan lagu yang bersesuaian untuk saya. Walaupun genre kami tidak sama, ideanya sentiasa yang terbaik,” katanya.

Terbaru, lagu barunya berjudul Put The Word In hasil kerjasama bersama DJ Aku Ash dan penyanyi antarabangsa, Sean Kingston mula mendapat perhatian.

“Alhamdulillah, jumlah tontonan video muzik Put The Word In kini hampir mencecah sejuta. Itu adalah jumlah yang besar buat saya walaupun saya tahu, banyak lagu penyanyi lain yang jumlah tontonannya lebih banyak,” katanya.

Menurut Kila, dia juga dimaklumkan pihak pengurusannya Put The Word In kini berada di tangga teratas carta iTunes di Papua New Guinea.

“Mungkin kerana rentak muziknya yang kedengaran urban, lagu ini berjaya menarik perhatian pendengar dari negara itu.

“Apabila dimaklumkan lagu ini berada di tangga pertama carta iTunes, lagilah saya rasa teruja.

“Jika sambutan di negara itu menggalakkan, tak mustahil untuk saya dan pihak pengurusan ke negara itu dan melakukan promosi,” katanya.

Menurut Kila, rentak pop R & B lagu itu adalah genre kegemarannya secara peribadi dan kerana itu jugalah dia lebih teruja.

Dalam pada itu, berpeluang menghabiskan masa selama dua hari bersama Sean memberikan pengalaman baru buatnya dalam menjalani perjalanan kerjaya sebagai penyanyi.

“Sean artis yang sangat berdisiplin. Ketika proses rakaman berlangsung, dia tidak datang dengan tangan kosong, sebaliknya, sudah bersiap sedia,” katanya.

Selain itu, Kila kini menjalani penggambaran drama bersiri terbaru berjudul Nafas yang akan ditayangkan di ntv7, Mei ini.

Selain Kila, Nafas turut dibintangi antaranya Erwin Dawson, Nor Aliah Lee, Kaka Azraf, Ben Amir, Aishah Azman dan Edika Yusof.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Mac 2018 @ 2:37 AM