FARAH Asyikin.
FARAH Asyikin.
Najiy Jefri

Walaupun hampir enam tahun tidak membuat kemunculan di pentas besar, minat Farah Asyikin terhadap dunia nyanyian tidak pernah luntur.

Terbaru, penyanyi yang dikenali menerusi lagu Kembali Lagi Di Sisimu kembali mewarnai menerusi program Gema Gegar Vaganza musim kedua.

Farah berkata, sebelum menerima tawaran itu dia mendapat izin daripada suaminya terlebih dahulu.

“Memang saya agak kekok selepas kali terakhir membuat persembahan di atas pentas besar pada 2012. Selepas itu saya memang tidak lagi aktif dalam bidang nyanyian.

“Namun, saya kembali semula dalam industri muzik ini atas dorongan suami dan keluarga,” katanya.

Menurut Farah, ada syarat yang perlu ditepati daripada suaminya, Raja Iskadar Raja Mukhtaruddin sekiranya mahu menyertai sebarang pertandingan nyanyian lagi.

“Suami paling banyak menjadi pendorong dan memberikan restu untuk saya kembali aktif dalam bidang nyanyian.

“Dia juga berpesan supaya sentiasa menjaga dan mengekalkan penampilan seperti sekarang. Katanya baju tak boleh ketat dan tudung kena labuh. Jangan pula makin lama tudung makin singkat,” katanya sambil ketawa.

Farah dan Raja Iskandar telah mendirikan rumah tangga pada Januari tahun ini dan itu adalah perkahwinan ketiga Farah.

Menyentuh mengenai pembabitannya dalam program GGV2 yang bakal memulakan siarannya pada 31 Mac ini di Astro Oasis, Farah berkata, program ini salah satu medan dakwah terbaik dalam memberi pendedahan kerohanian kepada penonton.

“Sebelum menyertai GGV, saya tak tahu siapa lagi peserta yang akan bertanding sama. Namun apabila dapat tahu ada rakan usrah dan sahabat sendiri yang sertai, ia jadi lebih seronok.

“Malah, saya juga percaya kami mempunyai matlamat sama, iaitu mahu memperjuangkan dakwah kreatif,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Mac 2018 @ 3:32 AM