NANA
Norhayati Nordin

Selepas single Terus Mencintai berjaya melonjakkan semula nama Nana dalam karier nyanyian, dia bakal muncul dengan single baru berjudul Hatiku Milikmu.

Masih mempertaruhkan lagu ciptaan sendiri, kali ini Nana mendapatkan khidmat Shana Ahmad sebagai penulis lirik.

Berbicara mengenai single itu, pemilik nama sebenar Siti Nordiana Alias, 33, berkata Hatiku Milikmu sudah dirakam tahun lalu.

“Cuma, ketika itu single Terus Mencintai masih mendapat sambutan dan saya juga muncul dengan lagu duet Nisan Cinta bersama Jaclyn Victor.

“Selain itu, saya juga sibuk dengan pelbagai aktiviti hiburan terutama persembahan nyanyian yang agak padat,” katanya.

Menurut Nana lagi, bukan hanya menyanyi, dia juga terikat dengan jadual penggambaran telefilem.

Ujar wanita cekal itu lagi, tahun ini dia bersedia tampil dengan Hatiku Milikmu sebagai single terbaru.

“Menariknya lagu ini, saya masih mengekalkan elemen percintaan pasa­ngan kekasih yang berdepan ujian berliku.

“Saya suka lagu meruntun jiwa kerana sesuai dengan vokal. Apatah lagi melodi Hatiku Milikmu hasil ciptaan sendiri.

Nana yang kini sibuk di lokasi drama Pengantin Musim Salju berkata kemungkinan penggambaran akan selesai pada Ramadan nanti.

“Selain berlakon dan menyanyi saya juga diberi kepercayaan untuk me­ngacarakan Gema Gagar Vaganza 2 (GGV).

“Di GGV2 nanti, saya akan berganding dengan Fikry Ibrahim dan Fakhrul Radhi dari kumpulan UNIC sebagai pengacara,” katanya.

Menurut ibu tunggal ini, dia juga terbabit dengan konsert selama dua hari bersama pelakon dan penyanyi Alif Satar di Singapura.

Selesa bersendiri

Berbicara ringkas mengenai peribadinya, Nana yang pernah melalui pengalaman gagal dalam perkahwinan berkata hingga saat in dia selesa bersendiri.

“Sekian lama menjadi ibu tunggal, saya belum terfikir untuk cari pengganti. Saya sudah selesa dengan kehidupan sekarang.

“Apa pun, macam selalu saya katakan soal jodoh biar Tuhan tentukan. Saya serah semuanya kepada Allah SWT,” katanya.

Mengulas jmengenai dirinya yang dilihat bekerjasama dengan lelaki sudah berkeluarga, Nana berkata dia profesional ketika bekerja.

“Saya tidak sanggup melukakan hati wanita lain, jadi apa yang diutamakan ialah menjaga batas pergaulan.

“Saya juga sangat berhati-hati. Apa yang penting, niat saya untuk bekerja dan mencari rezeki buat keluarga,” katanya.

Tegas Nana, bukan semua wanita sanggup berkongsi kasih dan rela hidup bermadu. Begitu juga dengan dirinya.

“Apa yang boleh di­elakkan kita elakkan. Saya sentiasa berhati-hati dan menjaga batas diri ketika bekerja.

“Apatah lagi, saya kini semakin aktif berlakon dan berstatus ibu tunggal pula,” katanya.

Nana pernah mendirikan rumah tangga bersama pelakon Allahyarham Faizal Yusup pada 2006 dan mereka sah bercerai sekitar 2009 selepas dikurniakan anak, Muhammad Rayyan Nakhaie, 11.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Mac 2018 @ 3:12 AM