ADEEP Nahar.
Amirul Haswendy Ashari

Pada konsert pertama Gema Gegar Vaganza (GGV) Sabtu lalu, penyanyi Abdul Mutalib Nahar atau Adeep Nahar mengejutkan ramai melalui persembahan vokal mantap sekali gus mengetepikan beberapa penasyid legenda seperti Brothers, Mestica dan Inteam.

Diusik sebagai peserta kegemaran, Adeeb mengakui tidak pernah terfikir untuk mendapat pujian itu selama bergelar penyanyi bersama The Fabulous Cat atau Muhibbain sebelum ini.

“Sebenarnya apa yang saya mahu tonjolkan, sebelum ini orang mengenali saya sebagai penyanyi dalam kumpulan atau rakan duet seperti The Fabulous Cat, Muhibbain dan Altimet.

“Apabila dapat peluang ini (GGV), saya anggap ia sesuatu yang positif kerana dapat menunjukkan bakat saya sepenuhnya,” katanya.

Tanpa berselindung, penyanyi lagu Izinkanlah ini menafikan kesungguhan ditunjukkan di pentas itu adalah untuk menang sebaliknya ia adalah sifat semula jadinya yang mahu membuat persembahan terbaik.

Katanya, dia sentiasa meletakkan semangat dan usaha untuk melakukan persembahan yang terbaik tanpa memikirkan soal kalah menang atau wang taruhan.

Dalam pada itu, Adeep turut disoal apakah kelebihan sebagai guru vokal menjadikan dia selangkah ke depan berbanding peserta lain.

Enggan melatah dengan usikan itu, Adeep berpendapat kelebihan itu adalah satu tekanan kerana sudah pasti lebih ramai akan meletak harapan tinggi kepadanya.

“Pastinya akan ada pihak yang menganggap saya sempurna di pentas GGV. Apabila ada anggapan itu, ia sesuatu yang sangat berat buat saya.

“Saya tidak mahu dianggap sebagai guru vokal di pentas pertandingan tetapi sebagai peserta, itu saja,” katanya.

Dia turut menolak dakwaan statusnya sebagai guru vokal seolah-olah menutup peluang peserta lain yang berkemungkinan tiada kelebihan teknikal sama.

Katanya, pentas GGV diberi kepada semua peserta tidak kira latar belakang malah dia sendiri tidak pernah meletakkan diri sebagai penyanyi ‘power house’ seperti diusik setengah pihak.

Tegasnya, semua peserta ada kelebihan tersendiri malah dia akui tidak sebagus peserta lain yang jauh lebih hebat sebagai penyanyi nasyid yang mempunyai lenggok tersendiri.

“Semua ada kelebihan. Saya tidak pandai berlenggok nasyid atau bernasyid seperti seorang ustaz.

“Kebanyakan mereka adalah ustaz dan mampu bertaranum seperti qari al-Quran. Saya hanya gunakan ilmu dan teknik yang saya belajar saja,” katanya.

Katanya, jika ada peserta yang melihat dirinya sebagai ancaman, dia menasihatkan agar isu itu ditolak ke tepi.

Apatah lagi di pentas GGV, setiap peserta boleh mengeluarkan segala lenggok nasyid atau taranum yang dirasakan terbaik untuk mereka.

“Saya boleh anggap, merekalah ancaman saya sebab mereka mempunyai kelebihan itu berbanding saya,” katanya berseloroh.

Adeep juga mendakwa tidak pernah terfikir menyertai GGV kali ini kerana pada musim lalu, dia menonton GGV sebagai sebuah program yang boleh memberi ilmu muzik baru kepadanya.

Katanya, dia ikuti GGV lalu kerana mahu pelajari muzik baru berikutan bekerja di belakang tabir sebagai komposer dan pemuzik, bukan meletak harapan untuk jadi peserta.

Bercakap mengenai lagu Hijau yang dipopularkan Datuk Zainal Abidin sebagai lagu tugasan konsert minggu kedua Sabtu ini, Adeep akui ia adalah baru baginya.

Apatah lagi, dia tidak pernah menyampaikan lagu itu dalam mana-mana persembahan sebelum ini.

“Saya tidak pernah bawa lagu ini dan ia adalah lagu yang kuat dan jujur kerana sangat dekat dengan jiwa manusia.

“Apabila dapat tahu kena nyanyikan lagu ini, saya gembira. Bagi saya, lagu ini adalah lagu nasihat dan sesuai untuk keadaan sekarang,” katanya.

Dia mahu mencabar diri melalui lagu itu yang dianggap legenda dan berharap ia akan memberi kesan kepada pendengar dan juri pada konsert GGV nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 April 2018 @ 12:26 PM