Yana belum putus untuk mendapatkan zuriat lagi. FOTO NURUL SYAZANA ROSE RAZMAN.


PELAKON Yana Samsudin berhabis sebanyak RM20,000 menjalani rawatan kesuburan Intrauterine Insemination (IUI) dalam usaha mendapatkan zuriat kedua.

Yana berkata, dia membuat rawatan itu di sebuah pusat perubatan swasta di Kuala Lumpur dan melakukan kaedah itu sebanyak tiga kali.

Bagaimanapun, sehingga kini masih belum ada rezeki.

“Kali terakhir menjalani rawatan pada bulan lalu namun usaha itu tidak berjaya.

“Jujur saya sedih dan menitiskan air mata kerana memang mengimpikan untuk mendapat zuriat lagi.

“Saya anggap belum rezeki bersama suami untuk menimang cahaya mata kedua. Allah ada perancangan terbaik untuk setiap hamba-Nya,” katanya.

Menurut Yana, selepas gagal menjalani rawatan terbabit sebanyak tiga kali doktor menasihatinya untuk berehat seketika sebelum meneruskan ke rawatan lain.

“Doktor menyarankan saya berehat dahulu sebelum mencuba rawatan kesuburan lain.

“Buat masa ini, saya banyak sibukkan diri dengan bekerja. Bagaimanapun saya selalu berdoa dikurniakan anak secepat mungkin dan tidak akan putus asa,”katanya.

Yana turut memaklumkan kesibukan bekerja menjadi punca rawatan terbabit tidak berhasil.

“Saya mula jalani rawatan ini sejak November tahun lalu. Doktor memberitahu punca kegagalan kaedah itu kerana saya aktif bergerak,”katanya.

Yana dilantik sebagai juri pertandingan video pendek, Smart Selangor 2018, mendirikan rumahtangga dengan Fadzil Zahari dan dikurniakan cahaya mata lelaki, Aisy Mateen, 2.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 April 2018 @ 7:12 PM