RAMAI artis Singapura jadikan Malaysia sebagai landasan dalam kerjaya seni.


Sejak dahulu, penyanyi dan pelakon kelahiran Singapura turut mempertaruhkan bakat mereka dalam industri hiburan di Malaysia.

Sememangnya tidak menjadi kesalahan untuk memasuki pasaran Malaysia kerana semuanya bergabung di bawah satu rumpun Nusantara.

Malah, industri hiburan khususnya perfileman Melayu boleh dikatakan bermula di Singapura ketika era kegemilangan Studio Jalan Ampas.

Bagaimanapun, baru-baru ini timbul isu apabila pelakon Singapura, Nadiyah Shahab tidak dibenarkan memasuki Malaysia kerana tiada permit bekerja walaupun kehadirannya bukan atas tujuan bekerja.

Diharapkan insiden itu bakal memberi iktibar dan membuka mata selebriti luar negara yang membina nama di Malaysia untuk tidak memandang ringan undang-undang negara ini.

Minggu ini Bling! menyenaraikan 10 selebriti Singapura yang ketika itu melebarkan sayap di Malaysia dan menjadikan kerjaya seni di sini sepenuh masa.

Datuk Aaron Aziz

Pemilik nama sebenar Aaron Mustapha Aziz ini mula melakar namanya di Singapura sekitar 2002.

Namun, kepuasannya sebagai pelakon di negara sendiri agak terbatas lalu dia nekad berhijrah ke Kuala Lumpur pada 2004 dan tampil menerusi drama pertamanya, Sumaiyah.

Bangga dengan pencapaiannya berdasarkan asahan bakat lakonan sendiri, Aaron kini selesa dengan kehidupan dan kerjaya dibinanya di sini.

Aaron juga sudah bergelar penduduk tetap dan memegang kad MyPR sejak awal Jun 2012.

Aliff Aziz

Memulakan kerjaya sebagai penyanyi pada 2007 dan dikenali melalui lagu Sayang Sayang, Aliff yang memiliki tiga album kini semakin aktif melebarkan sayapnya dalam bidang lakonan.

Hannah Delisha

Drama rantaian pertama dibintanginya, Mencintaimu Mr Photographer melonjakkan nama bakat baru ini ke pentas hiburan tempatan.

Dalam sekelip mata, nama Hannah menjadi sebutan ramai, malah akaun Instagram gadis ini sudah mengumpul lebih 953,000 pengikut.

Lebih mengujakan, sejak wanita berusia ini 22 tahun ini mengembangkan sayapnya dalam bidang lakonan di Malaysia, namanya meledak dengan pantas hingga dilantik menjadi duta beberapa produk.

Awi Rafael

Penyanyi dan pemuzik ini mula mencipta nama di Malaysia dengan lagu popular seperti Pulanglah dan Bila Aku Jatuh Cinta. Awi kini bernaung di bawah syarikat rakaman Warner Music Malaysia dan berkarya sepenuh masa di Malaysia.

Nadiyah Shahab

Sejak drama Lafazkan Kalimah Cintamu ditayangkan, nama pendatang baru ini semakin mendapat perhatian.

Nadiyah memulakan kerjayanya sebagai model dan mengacarakan rancangan berbentuk travelog Lost At Sea di saluran Go ASEAN. Sebelum ini, Nadiyah juga pernah membintangi drama popular Hikayat Cinta Si Pematah Hati dan Encik Suami Mat Salleh Celup.

Pelakon jelita berusia 27 tahun ini sudah mengikat tali pertunangan dengan pelakon Ben Ali pada 13 Januari lalu selepas tiga tahun bercinta dan bakal berkahwin penghujung tahun ini.

Shah Iskandar

Pelakon ini memulakan kerjaya seni di Malaysia sejak 2009. Dia nekad mengembangkan bakat lakonannya di Malaysia apabila berasakan peluang untuk artis Melayu di sini lebih cerah berbanding di negaranya.

Siapa sangka hampir sedekad mencanai bakat di Malaysia, Shah berjaya merangkul beberapa anugerah dan kelibatnya sentiasa menghiasi kaca televisyen.

Hisyam Hamid

Selepas namanya meletup menerusi drama bersiri Ariana Rose pada 2014, kini Hisyam antara pelakon yang menjadi buruan penerbit dan pengarah tanah air.

Hisyam memilih berada dalam industri Malaysia kerana industri seni negara ini cukup meriah berbanding di negaranya dan merancang menetap di sini.

Erwin Dawson

Jejaka berusia 29 tahun ini berhijrah ke Malaysia pada September 2014 selepas melihat peluang untuknya mengembangkan kerjayanya sangat besar.

Kini Erwin banyak membintangi drama bersiri dan semakin selesa mewangikan karier lakonannya di Malaysia.

Sufie Rashid

Kehadirannya mula memberi impak selepas menjuarai program realiti Akademi Fantasia (AF) 2015. Sejak itu, karier seninya mula dipandang dan menjadi sebutan ramai.

Atikah Suhaime

Pada usia 19 tahun, gadis ini memulakan kerjaya lakonan pada 2010 di negara asalnya menerusi siri TV Dikir Puteri dan Delicatesseen terbitan MediaCorp untuk saluran MediaCorp Suria.

Kemudian dia mencuba nasib dan berhijrah ke Malaysia pada 2012 apabila menjadi artis naungan Metrowealth Pictures . Drama pertama lakonannya di Malaysia adalah Rawan bergandingan dengan pelakon Faralyna Idris, Erin Malek, Fadzil Zahari dan Erin Malek.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 April 2018 @ 12:29 PM