NABILA Razali. FOTO Mahzir Mat Isa
Norhayati Nordin


PENYANYI dan pelakon, Nabila Razali, 26, menyifatkan jumlah 20 juta tontonan muzik video rasmi single ‘Pematah Hati’ nyanyiannya dicatat di YouTube dalam tempoh empat bulan disebabkan strategi pemasaran yang mantap.

Nabila ketika dihubungi berkata, ia berpunca sejak awal lagi sebelum muzik video single itu dimuat naik di YouTube kerana gosip cinta yang tular antara dia bersama pelakon yang menjadi model video klip itu, Aedy Ashraf.

"Ramai yang menganggap saya dan Aedy memang betul-betul bercinta pada masa itu. Jadi, secara tidak langsung gosip cinta itu sangat memberi impak kepada muzik video single Pematah Hati.

"Pun begitu, ia sekadar strategi pemasaran semata-mata kerana sebagai penyanyi baru... semestinya saya perlu kreatif untuk mengetengahkan muzik video produk single sendiri.

"Namun, saya juga tidak sangka akhirnya kisah cinta untuk kami muatkan dalam muzik video single Pematah Hati itu tiba-tiba menjadi gosip dan tular walaupun tidak ada dalam perancangan," katanya.

Nabila yang sebelum itu popular dengan single ‘Cemburu’ berkata, dia tahu ramai berasa 'ditipu' dengan kisah cinta berkenaan tetapi ada pengajaran perlu diambil.

"Pengajarannya mudah saja iaitu jangan bersikap memandai-mandai untuk sampaikan sesuatu cerita tanpa tahu kisah yang sebenar," katanya.

Pemilik nama sebenar Nur Nabila Mohd Razali ini juga memberitahu lakonan yang dipersembahkan bersama Aedy dalam muzik video Pematah Hati itu tidak keterlaluan hingga menjatuhkan maruah dirinya.

Mengulas mengenai single terbaru, Nabila berkata dia kini masih berfikir-fikir mencari konsep gimik yang sesuai.

Dia juga bimbang untuk terus guna pakai konsep gimik percintaan kerana sudah tentu orang tidak akan percaya lagi.

Menurut pelakon drama ‘Hikayat Cinta Si Pematah Hati’ ini, apa pun dia tidak mahu terburu-buru dan segalanya akan dibuat mengikut perancangan yang diatur teliti.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 April 2018 @ 4:58 PM