Georgie Joseph

Meskipun hanya empat penghibur beraksi di pentas konsert utama Gegaria Fest di Dataran Centrio Seremban 2, Negeri Sembilan malam kelmarin, sambutannya tetap luar biasa.

Membariskan Noh Salleh, Waris, Kugiran Masdo dan Bunkface, konsert berkenaan menarik lebih 15,000 penonton yang jelas tidak mahu terlepas menonton persembahan mereka.

Ternyata percaturan meletakkan empat penyanyi pada sebelah malam manakala tiga pada sebelah petang menjadi apabila penonton tidak berganjak dari tapak konsert.

Menjadi lokasi keenam festival itu, kemeriahan konsert agak berbeza kali ini apabila penontonnya cukup ‘sporting’ dan begitu bersemangat. Setiap penghibur yang naik ke pentas menerima sorakan dan tepukan gemuruh.


NOH Salleh.

Jika sebelum ini, Kugiran Masdo sentiasa menjadi tarikan utama dan mendapat reaksi luar biasa penonton berbanding yang lain, kali ini Waris menjadi pilihan ramai.

Tentu sekali penduduk setempat bangga melihat penyanyi kelahiran Negeri Sembilan beraksi ditempat sendiri.

Kemunculan Waris menggamatkan suasana. Sebaik namanya diumumkan, penonton bersorak hebat.

Menyampaikan lagu This Is Pilah, Lagu Bola dan Rembau Most Wanted, penonton turut menyanyi bersamanya. Lantas, kehangatannya lebih terasa.

Ditemui usai persembahan, penyanyi asal Rembau itu mengakui sangat terharu dengan sambutan penonton.

“Sebenarnya saya tidak menjangka sambutan sehebat ini.

“Saya sangat berbesar hati dapat menjayakan persembahan di tempat sendiri dan melihat sokongan penduduk Negeri Sembilan. Gegaria ternyata acara yang berjaya.

“Dengan acara ini, saya rasa Seremban 2 yang sebelum ini agak ‘lengang’ akan kembali ‘hidup’ dan menjadi tumpuan pelbagai penganjur untuk mengadakan acara sebegini,” katanya.


WARIS seronok beraksi di tempat sendiri.

Pada sesi sebelah petang, turut menggamatkan pentas adalah penyanyi Izzue Islam, Gerhana Ska Cinta dan Orkes A Hizadin.

Biarpun cuaca panas, ia tidak menghalang penonton untuk berhibur.

Terutama ketika Gerhana Ska Cinta mengambil alih pentas, suasana bertukar hidup dengan nyanyian lagu mereka yang cukup rancak.

Tidak ketinggalan, acara turut dimeriahkan dengan kehadiran pelakon Mok Cun iaitu Erma Fatima, Aiman Tino dan Fazlina Ahmad Daud yang menarik perhatian ribuan penonton menerusi segmen promosi musim baru siri berkenaan.


PELAKON Mok Cun buat penampilan.

Di gerai Lifestyle pula, beberapa selebriti turut hadir untuk sesi ramah mesra termasuk Awal Ashaari, Scha Al Yahya, Azira Shafinaz, Reen Rahim, Eyka Farhana, Elfira Loy, Wani Khayrie dan Shalma Aina.

Kira-kira 30,000 pengunjung hadir ke acara ini dari pagi hingga malam.


AWAL dan Scha bersama peminat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 April 2018 @ 12:21 PM