Sudirman Mohd Tahir


PERSATUAN Seniman akan cuba membantu menyelesaikan masalah penyanyi, Alina Hassan, 50, yang kini tiada tempat tinggal.

Presidennya Zed Zaidi berkata, Seniman terlebih dahulu perlu meneliti beberapa perkara sebelum diajukan kepada pihak terbabit.

“Memandangkan dia sudah buat permohonan kepada DBKL, jadi kami mahu tengok semula salinan borang dan dokumen berkenaan . Jika ada, boleh serahkan dan kami rujuk kepada mereka. Insya-Allah, Seniman boleh usahakan.

“Buat sementara waktu, kami juga boleh bantu carikan rumah terdekat dengan tempat tinggal sebelum ini. Jadi, dia tidak perlu susah payah pindahkan barang.

“Kalau dia tidak ada duit untuk bayar wang pendahuluan, Seniman juga cuba cari penaja untuk selesaikan masalah ini. Persatuan sangat prihatin nasib semua ahli dan sedaya upaya cuba membantu menyelesaikan masalah ditanggung,” katanya kepada Harian Metro.

Zed berkata, pihaknya sentiasa membuka pintu kepada setiap ahli untuk berkongsi dan menyuarakan masalah dihadapi.

Malah, pada 31 Mac lalu, seramai 10 artis berjaya mendapat rumah bantuan daripada Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan (KPKT) atas usaha Seniman.

Terdahulu, akhbar ini melaporkan Alina yang kini terbabit dalam program Mentor Otai di TV3 mengakui tiada tempat tinggal selepas diminta keluar oleh tuan rumah minggu lalu.

Malah, Alina yang mempunyai masalah kewangan untuk mendapatkan rumah sewa baru dan membayar deposit kini tinggal di hotel yang disediakan pihak produksi sepanjang terbabit dalam program itu.

Timbul kebimbangan dalam diri Alina yang juga bekas juara program Sinaran Pasport Kegemilangan 1996 mengenai nasibnya selepas tamat program itu nanti. Persoalan yang bermain di fikiran Alina sekarang, di mana dia akan tinggal nanti?

Berita berkaitan:

Alina tiada tempat tinggal

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 April 2018 @ 10:32 AM
Kabinet Malaysia 2020