Fadzil (kiri) nafi bergaduh dengan abangnya, Farid. FOTO ROSLIN MAT TAHIR


ADIK kepada pelakon popular, Datuk Farid Kamil iaitu Fadzil Zahari menafikan dakwaan kononnya dia bergaduh dengan abangnya itu.

Fadzil berkata, hubungannya dengan Farid masih baik malah tidak wujud sebarang pertelingkahan atau konflik antara mereka.

“Saya dan Farid masih baik. Mana ada kami gaduh. Tak baik buat fitnah yang bukan-bukan.

“Saya selalu mengingatkan diri bahawa tidak masuk syurga orang yang memutuskan hubungan kekeluargaan. Saya akan sentiasa menyokong dan berada di sampingnya walau bermacam dugaan harus ditempuhinya,” katanya.

Sebelum ini, timbul dakwaan mengatakan Fadzil tidak lagi berhubung dengan Farid apabila kelibatnya tidak kelihatan pada sidang media diadakan Farid di Shah Alam, baru baru ini.

Ketiadaan Fadzil selama ini menemani Farid berdepan kontroversi dan menjadi penjamin bagi beberapa kes mahkamah mengundang tanda tanya ramai.

Bagaimanapun menurut Fadzil, selepas abangnya dibebaskan daripada tahanan polis dia tidak lagi seratus peratus menjaga karier seni abangnya kerana Farid mempunyai pengurus peribadi iaitu Saufee Miftah.

“Ketika dia ditahan di balai polis, saya bersama adik beradik membantu menguruskannya.

“Tetapi selepas dia dibebaskan adalah lebih baik saya tidak mencampuri urusannya kerana dia tahu apa lebih baik.

“Bagaimanapun saya akan menyokong dan akan sentiasa membantunya dari belakang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 April 2018 @ 5:57 PM