LOKASI yang mencabar fizikal menjadi pilihan.
OSMAN ketika di set penggambaran.
SET pondok yang menjadi tempat tinggal Suri.
Syafil Syazwan Jefri


Ketika menjejakkan kaki di Pulau Langsir, Langkawi yang menjadi set penggambaran filem seram terbaru arahan Osman Ali, perasaan tenang dan gementar bercampur baur.

Mana tidaknya, pulau terpencil itu menyimpan rahsia tersendiri, sekali gus sesuai dijadikan tapak penggambaran filem Langsuir.

Menggandingkan Syafiq Kyle dan Hannah Delisha sebagai teraju utama, pasangan itu meneruskan keserasian yang dicipta mereka dalam drama bersiri Mencintaimu Mr Photographer.

Secara ringkas, Langsuir memaparkan kisah cinta antara Azlan lakonan Syafiq Kyle dan Suri (Hannah Delisha) dari alam ghaib.

Kedua-duanya bertemu ketika Azlan dan teman-temannya berkunjung ke pulau larangan bernama Pulau Langsuir.

Azlan yang jatuh cinta dengan Suri tidak tahu bahawa Suri bukan manusia sebaliknya langsuir yang mendiami pulau terbabit.

Dalam pada kedua-duanya diulit rasa cinta, muncul pula karakter Zaman (Firdaus Nadzaman) yang tidak senang hati melihat hubungan mereka.

Dia yang tahu asal usul Suri merancang menikam paku ke kepala Suri dan melihat sejauh mana kebenaran mitos mengenai langsuir itu.

Hasrat Zaman membangkitkan kemarahan kakak Suri iaitu Dewi (Julia Farhana).

Adakah hubungan ‘terlarang’ itu mampu bertahan atau mereka terpaksa tunduk dengan tuntutan dunia masing-masing yang nyata berbeza?

Pengarahnya, Osman Ali berkata, tidak sukar bekerja dengan bintang utama memandangkan mereka serasi bersama.

“Ini pengalaman sulung saya bekerja dengan pelakon yang baru pertama kali berlakon filem. Ia memudahkan saya membentuk dan mencabar mereka.

“Apa yang boleh saya katakan mengenai Syafiq dan Hannah, mereka sangat serasi. Segalanya jadi mudah, malah pengalaman mereka bergandingan dalam drama sebelum ini banyak membantu melancarkan kerja kami,” katanya.

Sambung Osman lagi, sepanjang 25 hari penggambaran, Langsuir menampilkan sisi berbezanya sebagai sutradara.

“Langsuir berbeza daripada karya yang pernah saya hasilkan sebelum ini.

“Menerusi filem ini, saya ketengahkan kisah cinta remaja yang romantik dan diselitkan elemen seram,” katanya.

Ditanya mengenai rujukannya dalam mengarahkan filem terbitan Guam Teamwork Pictures Sdn Bhd dengan kerjasama produksi miliknya, Nuansa Films itu, Osman berkata, dia banyak bertanya dengan masyarakat setempat.

“Saya bertanya penduduk kawasan sekitar yang tahu mengenai kewujudan langsuir dan merujuk cerita orang lama.

“Daripada situ, saya tahu asal usul makhluk ini, tempat tinggalnya di kawasan berbukit-bukau dan pulau serta cara hidupnya.

“Mungkin ramai tidak tahu makhluk ini sering dilihat nelayan kerana langsuir suka makan ikan dan gemar menyanyi,” katanya.

Sementara itu, Syafiq mengakui tidak menyangka filem sulungnya itu sangat mencabar.

“Banyak cabaran ketika menjalani penggambaran filem ini. Lokasinya saja sudah mencabar kerana dilakukan di pulau terpencil yang belum diusik.

“Selain itu, cuaca juga memainkan peranan. Soal penat usah cerita, memang sangat memenatkan. Namun, apabila melihat hasilnya dan sinematografi menarik, rasa itu hilang,” katanya.

Hannah pula tidak dapat melupakan pengalaman berdepan beberapa gangguan. Meski tidak keterlaluan, dia dihantui perasaan takut dan cemas.

“Mungkin kerana lokasi penggambaran ini agak ‘keras’, ada beberapa kejadian aneh berlaku.

“Namun, semuanya berjalan dengan lancar. Saya lagi risaukan bahaya fizikal berbanding bahaya disebabkan perkara ‘spiritual’,” katanya.

Bagi menjiwai watak Suri, Hannah perlu mengekalkan jiwa karakter itu dalam dirinya biarpun di luar set penggambaran.

Menurut Hannah, dia selalu menyendiri ketika waktu rehat dengan menikmati pemandangan pulau itu.

“Dalam kepala, saya sentiasa fikir mengenai latar belakang, kehidupan dan tempat tinggal Suri yang lain daripada manusia biasa,” katanya.

Berdasarkan perkongsian itu, Langsuir akan menjadi karya seram tanah air yang dinantikan peminat filem tempatan.

Selain Pulau Langsir, filem itu turut menjalani penggambaran di sekitar Langkawi antaranya Gua Tembus, Pantai Talam Dua Muka dan Teluk Datai.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 April 2018 @ 10:19 AM