Nabil sedari usia sudah tidak lama. FOTO MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN
Syafil Syazwan Jefri
syafil.syazwan@hmetro.com.my


PENGACARA dan pelawak, Nabil Ahmad mengakui semakin mendalami ilmu agama di samping mendekati mereka yang mempunyai ilmu bidang berkenaan.

Nabil, 35, berkata, hatinya terdetik untuk berubah perlahan-lahan selepas menonton satu video mengenai hari kiamat.

"Pada mulanya, saya menonton video ceramah agama mengenai hari kiamat. Dalam video ceramah yang disampaikan oleh penceramah bernama Ustaz Zulkifli itu, ia berkisar mengenai tanda-tanda akhir zaman dan sebagainya.

"Perlahan-lahan, saya mula sedar bahawa usia dunia kita sudah tidak lama. Semua yang kita ada sekarang hanyalah pinjaman semata-mata," katanya kepada Harian Metro.

Kata Nabil, dia tahu ramai yang menganggap kerjayanya dalam bidang seni akan menjadi kesukaran kepada penghijrahannya.

"Kerja adalah kerja kerana dari situ, saya menjana pendapatan. Tapi di luar waktu kerja, itu antara saya dengan Allah," katanya.

Nabil berkata, dia bersyukur apabila isterinya, Zira mula meluahkan hasrat untuk bertudung dan menutup aurat.

"Zira ada memaklumkan kepada saya mengenai keinginan untuk bertudung. Saya pesan, jangan bertudung untuk tujuan lain seperti perniagaan dan sebagainya.

"Saya mohon kepada semua agar mendoakan kami sekeluarga supaya menemui jalan mudah untuk mendekati ilmu agama di samping menjalani tugas sebagai hamba-Nya," katanya.

Tidak hanya mahu mencari ilmu bersendirian, Nabil juga tidak segan untuk berkongsi dengan beberapa teman lain.

"Saya tak reti nak berdakwah atau apa. Tapi, cara saya, mainkan video terbabit dan kongsikan apa yang saya tahu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 April 2018 @ 2:59 PM