Salma akui mereka sekeluarga lebih mengenalinya. FOTO fail HM/Online Digital HM
Georgie Joseph


PENYANYI Salma Asis meminta semua orang supaya berhenti membuat andaian sendiri mengenai keputusan mahkamah menjatuhkan hukuman terhadap suaminya Mohammad Azri Abdullah hari ini.

Salma atau nama penuhnya Salmah Asis, 27, berkata hanya dia dan keluarganya mengetahui kebenaran dan orang lain tidak perlu tampil dengan spekulasi liar.

“Allah sebaik-baik perancang. Mengaku tidak semestinya bersalah. Kami sekeluarga lebih mengenalinya.

“Sebelum ada komen yang tidak baik selepas ini, saya minta jasa semua lebih baik berdiam. Jangan buat andaian atau spekulasi yang membawa fitnah.

“Dosa tanggung sendiri dan saya takkan segan untuk mem’block’ anda jika menambah-nambah atau memburukkan lagi keadaan kami sekeluarga.

“Saya sayang anda semua, terima kasih,” katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan Azri dipenjara 14 hari dan didenda RM5,000 di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, hari ini selepas mengaku bersalah mendera anak perempuan tirinya dengan mencelup kedua-dua tangan mangsa ke dalam air panas, dua tahun lalu.

Hakim Norshila Kamaruddin menjatuhkan hukuman itu terhadap Azri, 31, selepas tertuduh menukar pengakuan bersalah semalam, pada hari pertama perbicaraan kes itu sepatutnya berlangsung.

Mahkamah memerintahkan Mohammad Azri menjalani hukuman penjara bermula hari ini dan penjara enam bulan lagi, jika gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, Azri didakwa melakukan penganiayaan terhadap kanak-kanak yang kini berumur 11 tahun itu dengan mencelup kedua-dua tangan mangsa ke dalam air panas di pangsapuri di Seksyen 9, Subang Jaya, jam 8 pagi pada 5 Mei 2016.

Selepas hukuman diberikan, Azri dan semua ahli keluarganya, termasuk ibunya dan Salma menangis teresak-esak sambil memeluk lelaki itu di dalam kandang tertuduh.

Berita berkaitan:

Azri AF dijel, denda dera anak tiri

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 April 2018 @ 5:24 PM