Fuad bukan sengaja mahu suka suka. FOTO IG Fuad
Sudirman Mohd Tahir
sudirman@hmetro.com.my


PELAKON kelahiran Singapura, Fuad Al Hakim menjelaskan gambar berseluar dalam yang dimuat naik di laman Instagram miliknya hari ini bukan bertujuan untuk mencetus kontroversi.

Fuad, 28, berkata gambar itu sebahagian daripada tuntutan kerja kerana masih terikat dengan kontrak syarikat pakaian dalam lelaki di Singapura.

“Sebenarnya, sehingga sekarang saya masih dapat tawaran untuk menjayakan fotografi pakaian mandi lelaki. Macam gambar yang dimuat naik hari ini, ia sebahagian kontrak tahun lalu yang perlu saya selesaikan.

“Sepatutnya saya kena habiskan lebih awal, tepi saya tunda. Jadi, mahu atau tidak saya kena juga habiskan tahun ini. Ada lagi beberapa gambar lain, tapi saya sudah berbincang dan tidak akan muat naik.

“Kebetulan hari ini syarikat terbabit memuat naik gambar sama, jadi saya kena muat naik juga. Ingin dijelaskan ini hanya untuk komitmen yang saya masih ada dengan pihak mereka,” katanya kepada Harian Metro.

Fuad yang juga pemenang pertandingan pencarian lelaki, Manhunt Singapura 2015 berkata, kontrak itu tidak ada jangka masa sebaliknya bergantung kepada jumlah gambar yang perlu dimuat naik.

“Kontrak akan tamat apabila semua pemilihan gambar siap. Saya juga masih berbincang dengan mereka untuk memuat naik gambar terakhir bagi promosi ini.

“Sejak terbabit bidang lakonan di Singapura dan Malaysia, saya ambil keputusan mengurangkan bergambar memakai seluar dalam atau pakaian mandi.

“Saya harap peminat dan pengikut saya tidak salah faham. Saya bukan sengaja atau suka-suka. Saya minta maaf jika perkara ini membuatkan segelintir pihak marah dan tersinggung,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 April 2018 @ 6:27 PM