ZUL Ariffin (kiri) dan Elizabeth Tan hangat diperkatakan ramai sekarang.
HM Digital

Cinta oh cinta...penuh ceria...berwarna-warni...aneka cinta.

Inilah bait-bait lirik lagu Cinta Oh Cinta nyanyian ratu dangdut Amelina.

Sengaja Cik Pang petik lagu ini kerana mahu memperkatakan mengenai hubungan mesra antara pelakon lelaki pujaan ramai Zul Ariffin dan Elizabeth Tan yang hangat diperkatakan ramai sekarang.

Sebelum ini Cik Pang hanya dengar desas-desus mengenai hubungan mereka, tetapi ia mula heboh diperkatakan apabila pelakon Fatiya Latiff bertindak memuat naik status yang mengusik pasangan ini di Instagramnya.

“They look so cute together omg! Dear @zul_ariffin pls take good care of this lil’cute angel trust me she’s an ‘angel’,” tulis Fatiya yang turut disertakan dengan emoji tanda senyum.

Bagaimanapun status itu dipadamkan di Instagram Fatiya beberapa jam kemudiannya.

Nak salahkan Fatiya pun tak boleh juga kerana Elizabeth atau Lizzy yang mula mempamerkan kemesraan mereka di laman Instagram miliknya.

Apa yang Cik Pang tahu, pasangan ini mula rapat apabila digandingkan berlakon filem seram Misteri Dilaila sebagai pasangan suami isteri.

Walaupun Lizzy menafikan mempunyai perasaan terhadap Zul, video yang dikongsi pasangan ini sama ada di Instagram Zul dan Lizzy pula sebaliknya.

Cik Pang bukanlah naif sangat untuk sukar memahami bahasa badan pasangan yang sedang asyik dilamun cinta.

Kalau Cik Pang sendiri boleh suka tengok video mereka, apatah lagi peminat kerana apa yang dipaparkan agak menarik.

Ayat “apakah awak akan merindui saya” tak pernah lekang dituturkan oleh kedua-dua mereka bagi melahirkan perasaan masing-masing.

Cik Pang harap ia bukan publisiti untuk mempopularkan filem ini kerana tiada salahnya pun kalau mereka bercinta.

Zul pun baru umumkan putus cinta dengan pelakon cantik Zahirah MacWilson baru-baru ini, manakala Lizzy sudah putus cinta dengan seorang jejaka Melayu sejak tahun lalu.

Jadi, Cik Pang tidak nampak kesalahan jika mereka benar-benar bercinta. Sama-sama solo, apa lagi nak ditunggu.

Ada baiknya kita berdoa untuk mereka dan mana tahu jika ada jodoh, dapatlah sama-sama makan nasi minyak mereka.

Kalau ini menjadi kenyataan jangan lupa jemput Cik Pang, ya!

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 April 2018 @ 1:32 PM