X
ERRA bawa Aleesya bercuti sambut ulang tahun di taman tema terbesar.
ERRA bawa Aleesya bercuti sambut ulang tahun di taman tema terbesar.
ERRA bawa Aleesya bercuti sambut ulang tahun di taman tema terbesar.
ERRA bawa Aleesya bercuti sambut ulang tahun di taman tema terbesar.
ERRA bawa Aleesya bercuti sambut ulang tahun di taman tema terbesar.
ERRA bawa Aleesya bercuti sambut ulang tahun di taman tema terbesar.
Rudy Imran Shamsudin

Tanda kasih tidak berbelah bahagi, primadona filem alaf baru Erra Fazira menghadiahkan percutian paling bermakna buat puteri tunggalnya, Engku Aleesya Engku Emran.

Baru-baru ini, bagi menyambut ulang tahun kesembilan Aleesya, Erra membawa anak kesayangannya bercuti di taman tema Disneyland terbesar di dunia terletak di Pudong, Shanghai, China.

Shanghai Disneyland Park (SDP) menampilkan taman tema bervariasi terbaharu berbanding taman tema Disneyland lain di serata dunia.

Erra dan Aleesya, ditemani teman baiknya, Helena dan keluarga, terbang ke Shanghai untuk menikmati percutian yang dirancang hampir tiga bulan lalu bagi menyambut hari jadi Aleesya dan teman baiknya yang kebetulan sama-sama jatuh pertengahan April lalu.

Sewaktu dihubungi bagi berkongsi pengalaman kali pertama menjejakkan kaki di taman tema terbabit, kata Erra, dia memilih SDP kerana statusnya sebagai taman teman Disneyland terbesar di dunia.

“Ikutkan, sejak Aleesya berusia lima tahun lagi dia memasang impian bercuti di taman tema Disney. Dia sering meluahkan kepada saya yang rakan sekolahnya selalu pergi ke taman tema terbabit tetapi dia tidak pernah pun merasai pengalaman itu.

“Saya memang berhasrat membawa dia ke sana tetapi tidak berkesempatan. Akhirnya, apabila usianya mencecah sembilan tahun barulah saya dapat merealisasikannya,” kata Erra.

Bercerita mengenai situasi sepanjang berada di sana, walaupun cuaca ketika itu sejuk, ia tidaklah keterlaluan dan mereka dapat menikmati keseronokan.

“Disneyland Park di Shanghai bukanlah Disneyland pertama buat saya kerana sewaktu zaman muda dulu saya pernah beberapa kali menjejakkan kaki di taman tema itu di beberapa negara.

“Bagaimanapun percutian bersama Aleesya lebih seronok. Andai dulu saya pergi untuk hiburkan diri, kali ini saya dapat lihat anak pula berseronok. Jadi rasa gembira itu berganda,” katanya.

Malah, mereka berkampung selama tujuh hari di taman tema itu. Maka, sepanjang tempoh itu setiap pelosok kawasan terbabit dapat dilawati. Ini kerana SDP adalah penggantian ‘hub’ pusat utama taman tema yang menampilkan 11 ekar koleksi pelbagai taman dikenali sebagai Gardens of Imagination.

Antara tema lain yang ada di SDP adalah Enchanted Storybook Castle, mahligai Disney terbesar dan tertinggi yang menawarkan keseronokan menjelajah ke dalam premis itu dengan menaiki bot.

Selain itu, turut menjadi tumpuan adalah Treasure Cove, rumah untuk Pirates of the Caribbean: Battle of the Sunken Treasure Ride.

Paling menarik perhatian Aleesya dan Helena di sana, kata Erra, sudah tentu taman bertemakan filem Frozen dan mereka menghabiskan banyak masa di taman terbabit.

Kata Erra lagi, selalunya ibu bapa membawa anak bercuti ke Disneyland kerana mahu mereka bergembira. Namun untuk golongan dewasa, tidak banyak perkara boleh dilakukan kecuali menikmati suasana dan pemandangan sekitar.

Namun, Erra berbeza apabila menikmati kemeriahan taman tema terbabit dan mencuba pelbagai permainan yang disediakan di situ bersama anakanda tercinta.

“Ada orang seusia saya selalu berasakan taman tema hanya sesuai untuk kanak-kanak tetapi saya boleh menikmati kemeriahan tempat sebegini. Saya ‘enjoy’ apatah lagi melihat wajah gembira Aleesya dan Helena.

“Apatah lagi mereka dapat menyambut ulang tahun kelahiran bersama-sama. Beza hari jadi Aleesya dan Helena hanya dua hari,” katanya.

Kongsi Erra lagi, Aleesya lasak sedangkan Helena lembut orangnya.

“Karakter Helena lebih berupa ‘puteri’ dan Disneyland memang sesuai dengannya berbanding Aleesya yang lebih kepada ‘Marvel’ yang menonjolkan watak-watar adiwira.

“Meskipun lasak seperti saya, Aleesya cepat pening apabila menaiki roller coaster. Bagi saya, rugi kalau tak merasai permainan yang disediakan di tempat itu.

“Saya berjaya memujuk Aleesya untuk merasai sekurang-kurangnya sekali pengalaman menaik roller coaster. Kira-kira dua jam dia bertahan dan lepas itu saya sarankan dia menaiki permainan yang ringan dan tidak menyebabkan dia berasa mual,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 April 2018 @ 1:37 PM