KORIE
KORIE
Ramlah Zainal

Nama Korie pernah mencuri perhatian peminat menerusi lagu duet dengan Ella yang juga kakaknya berjudul Pergilah Sayang pada 1990-an.

Ketika namanya meniti di bibir peminat, Korie memutuskan untuk berehat daripada bidang nyanyian dan fokus pada kerja di belakang tabir pada tahun 2000.

Selepas dua dekad menyepikan diri, Korie kembali untuk merancakkan bidang muzik tanah air tahun ini.

Pemilik nama sebenar, Azahari Aminuddin, 49, ini ketika ditemui mengakui dia rindu untuk merakamkan album seperti dulu.

“Saya berehat daripada bidang nyanyian dulu kerana kecewa dengan masalah cetak rompak dan kegawatan ekonomi ketika itu.

Tapi, saya masih mencipta lagu dan lagu iklan untuk kawan-kawan rapat.

“Pada masa sama, saya juga terbabit dalam pengurusan acara karnival dan jualan hujung tahun untuk menyara keluarga,” katanya.

Kemunculan semula Korie bukan dengan tangan kosong sebaliknya bersama bingkisan single solonya tahun ini untuk mengubat kerinduan peminat.

“Kali ini saya akan muncul dengan single solo terbaru berjudul Berhenti Tentang Mu di mana lagu dan lirik hasil ciptaan sendiri. Single ini juga menceritakan kisah mereka yang putus cinta dan cuba mencari kekuatan untuk melupakan bekas kekasihnya itu

“Proses rakaman single solo ini juga berlangsung dua bulan lalu. Single terbaru ini akan diedarkan syarikat rakaman Universal Music,” katanya.

Ditanya lagu duet terbarunya dengan Ella pula, kata Korie, dia juga ada perancangan ke arah itu.

“Saya tidak menafikan ramai peminat yang mahukan kami berduet dalam lagu terbaru selepas ini.

“Sebab itu, Ella juga mengundang saya berduet dengannya lagu Pergilah Sayang setiap kali ada acara besar. Saya juga baru kembali daripada menjayakan konsert jelajah Ella di dua lokasi di Johor, baru-baru ini,” katanya.

Sepanjang terbabit dalam bidang nyanyian, Korie pernah menghasilkan dua album iaitu Pergilah Sayang yang juga lagu duetnya bersama Ella pada 1996 dan Mungkinkah Sayang (1998).

Anak ikut jejak dalam bidang nyanyian

Darah seni Korie turut mengalir dalam diri anak perempuannya, Rainia yang berbakat dalam bidang nyanyian.

Menurut Korie, dia dapat tahu anak sulungnya itu berbakat kerana sering memenangi pelbagai pertandingan nyanyian peringkat sekolah.

“Rainia juga mampu menyanyi dengan baik lagu dalam bahasa Inggeris berbanding Melayu.

“Saya tidak menghalang minatnya dalam bidang nyanyian asalkan dia tidak mengabaikan pelajarannya,” katanya.

Hasil perkongsian hidup dengan pengusaha butik, Nor Baini Jaafar, 38, Korie dikurniakan dua anak iaitu Yang Rainia Damia, 13, dan Kashaf Dika Raidi, 5.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Mei 2018 @ 1:07 PM