Pengarah Jenama, Kandungan dan Strategi Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Sherina Mohamed Nordin (barisan belakang, tengah) bersama barisan Duta Terima Kasih serta penaja. FOTO NURUL SYAZANA ROSE RAZMAN
Pengarah Jenama, Kandungan dan Strategi Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Sherina Mohamed Nordin (barisan belakang, tengah) bersama barisan Duta Terima Kasih serta penaja. FOTO NURUL SYAZANA ROSE RAZMAN
Michelle Gun


RANGKAIAN Televisyen Media Prima Berhad (MPTN) mengekalkan kempen Terima Kasih untuk tahun kedua sempena Ramadan ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MPTN, Johan Ishak berkata kempen itu diteruskan berikutan sambutan menggalakkan orang ramai tahun lalu.

"Bagi kempen kali ini, MPTN mahu menyediakan platfom terbaik kepada penonton untuk mengekspresikan penghargaan mereka dalam bentuk perbuatan.

"Sepanjang Ramadan dan Syawal, penonton disajikan dengan pelbagai program menarik yang bukan saja menghiburkan mereka tetapi turut menyampaikan mesej berguna," katanya.

Berbeza tahun ini, Johan berkata aktiviti Bazar Terima Kasih dan Jom Masjid akan berlangsung secara serentak pada hari sama mulai 26 Mei ini.

"Barisan selebriti dan duta kempen akan turun padang untuk mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti termasuk melawat rumah kebajikan terpilih," katanya.

Bazar Terima Kasih dan Jom Masjid akan diadakan di Sungai Petani, Kedah pada 26 Mei diikuti lokasi kedua di Klebang, Melaka pada 2 Jun.

Sementara itu, MPTN pada majlis pelancaran kempen Terima Kasih, hari ini memperkenalkan sebanyak 41 program menarik menerusi TV3, TV9 dan ntv7 bagi siaran sepanjang Ramadan ini.

Program membabitkan gaya hidup, keagamaan, drama bersiri, telefilem dan hiburan.

Pada majlis itu juga, MPTN turut mengumumkan barisan duta kempen Terima Kasih iaitu Izzue Islam, Farah Nabilah, Remy Ishak, Erwin Dawson, Puteri Aishah, Azira Shafinaz serta pasangan pelakon Amar Baharin dan Amyra Rosli serta anak mereka Aqeef Anaqi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Mei 2018 @ 7:28 PM