KETUA Pengarah JKKN Tan Sri Norliza Rofli (bertudung) bersama aktivitis seni yang terbabit.
HM Digital

Kehebatan olahan naskhah, teknik pengarahan menarik serta persembahan gaya baru membuatkan teater bangsawan Dendam Laksamana arahan Pat Ibrahim dan Zhaou Si Anak Yatim arahan Lenny Erwan kembali dipentaskan dalam program Siri Semarak Bangsawan 2018 anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) yang akan bermula Ogos ini.

Dendam Laksamana yang dibintangi Nadia Aqilah, Pekin Ibrahim, Dr Norzizi Zulkifli, Megat Sharizal, Anwar Rusdini dan Hamzah Tahir mencatat jumlah penonton yang ramai ketika dipentaskan pada 10 hingga 12 November tahun lalu di Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

Sementara Zhaou Si Anak Yatim membariskan pelakon Opera Sri Bandaraya DBKL menerima sambutan hangat kerana persembahan yang segar dan komposisi muzik menarik ketika dipentaskan pada Oktober lalu di lokasi sama.

Turut tersenarai dalam siri program ini adalah pementasan bangsawan Puteri Saadong serta bangsawan Abu Hassan Pencuri.

Manakala program Pang­gung Seni 2018 pula sudah membuka pentas pada pertengahan Mac lalu menerusi pementasan Wayang Kulit, Dikir Barat & Menora Limau Nipis Naga Berseru.

Tidak ketinggalan disenaraikan adalah persembahan muzik Sitar ‘SwarAsia Malaysia Kampungku, Opera Cina ‘The Story of Princess Chang Ping’ dan teater Mek Mulung Hikayat Puteri 12 Beradik.

Untuk tahun ini, kedua-dua siri program akan berlangsung di Auditorium Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC), Jalan Ampang Kuala Lumpur.

JKKN juga saban tahun tampil dengan pelbagai program menarik berkaitan kebudayaan dan kesenian dalam usaha memperkasakan seni budaya tanah air.

Semua program dirancang berpandukan lima teras program utama iaitu Asuhan Seni dan Budaya, Pemuliharaan Seni dan Budaya, Jangkauan Seni Budaya, Pengukuhan Seni dan Budaya dan Jaringan Kerjasama Kebudayaan.

Sebanyak 10 program baru di bawah inisiatif JKKN bakal dilaksanakan iaitu program Jom Belajar! di bawah kategori Asuhan Seni Budaya, Pertandingan Teater Bahasa Melayu SJK Tamil, Pertandingan Teater Bahasa Melayu SJK Cina dan Kejuaraan Tari Kanak-kanak Malaysia. Semua program itu kali pertama dianjurkan di bawah program Gilap Bakat Muda.

Sementara di bawah elemen Pemuliharaan Seni Budaya pula, program baru yang akan dilaksanakan adalah Festival Seni Hampir Pupus ‘Dying Arts Festival’.

Program lain di bawah elemen ini adalah Perantisan, Pemetaan Budaya dan Panggung Seni Tradisional yang memperuntukkan sebanyak tujuh slot pementasan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Mei 2018 @ 4:47 AM