PENYANYI kelahiran Malaysia, Wan Azlyn bakal mewakili negara ke pertandingan realiti TV Show Sing! China yang dijangka berlangsung di Shanghai pada Julai nanti.
Wan Azlyn, 18, terpilih mewakili negara selepas memenangi tempat kedua pertandingan yang diiktiraf negara tembok besar itu yang berlangsung di Kuala Lumpur, Sabtu lalu.
“Saya sangat bersyukur kerana bakal mewakili negara ke peringkat seterusnya pertandingan program realiti TV Show dari China itu.
“Saya juga terpilih dari 3,000 peserta yang datang ketika uji bakat dan satu-satunya peserta berbangsa Melayu yang layak ke peringkat akhir pertandingan ini.
“Insya-Allah, semoga pertandingan ini menjadi platform terbaik untuk saya kembangkan bakat nyanyian ke China nanti,” katanya kepada Harian Metro.
Pada pertandingan itu, Wan Azlyn Maashah atau lebih dikenali sebagai Darling menyampaikan dua lagu iaitu Gei Wo Yi Ge Li You Wang Ji (finale) dan Zheng Fu pada acara battle.
Terdahulu, artis bernaung di bawah syarikat rakaman FMC kelahiran Pulau Pinang
ini juga berkongsi kemenangannya pada pertandingan yang berlangsung di sini menerusi gambar dimuat naik di laman instagram miliknya, @darlingofficial.
Penyanyi muda ini juga memiliki kemampuan luar biasa kerana fasih menyanyi dalam 10 bahasa, antaranya Melayu, Cina, India, Thailand, Korea, Jepun, Inggeris, Arab, Hokkien dan Kantonis.
Sebelum ini, Wan Azlyn pernah muncul dengan single sulungnya berjudul Takkan Dia bersama Viral, terbitan FMC Music yang turut diputarkan di stesen radio tempatan.
Bakat Wan Azlyn mula meraih perhatian ramai apabila memenangi naib juara dalam pertandingan Idola Kecil anjuran TV9 pada 2012.