PENYANYI kumpulan E.Y.E, Izam. FOTO NSTP
Amirul Haswendy Ashari.


PENYANYI kumpulan E.Y.E, Izam, 49, akui penyertaannya pada Gema Gegar Vaganza (GGV) musim pertama pada 2017 menjatuhkan dan bukan membantu menaikkan semula namanya kembali ke dalam industri.

"Penyertaan saya di dalam GGV itu ibarat mencukupkan 'korum' sahaja dan saya memang sangat kecewa pada waktu itu.

"Bagaimanapun, nama saya dan E.Y.E betul-betul naik semula selepas membuat persembahan di Kuantan pada bulan lalu," katanya.

Vokalis kumpulan yang popular dengan lagu Izinkan Selamanya Namamu Di Hati ini mendakwa E.Y.E mula disebut peminat selepas klip rakaman persembahan mereka di sana, tular dan ditonton dipercayai lebih tiga juta kali di laman sosial.

Katanya, dari situlah baru kelihatan impak yang benar-benar membuka mata peminat bahawa mereka tidak pernah berpecah.

"Sebelum penyertaan saya di dalam GGV, E.Y.E sudah ada tawaran persembahan sama ada secara solo atau berkumpulan seperti biasa.

"Kami masih bersama cuma mungkin pemain basis sahaja yang bertukar mengikut peredaran masa," kata Izam.

Izam ditemui pada sidang media acara membeli belah Havoc Raya 2018 di Kuala Lumpur, turut mendedahkan E.Y.E mendapat tawaran mengadakan mini konsert 'reunion' yang bakal diadakan pada 18 Ogos depan.

Bagaimanapun, butiran lanjut mengenai konsert ‘reunion’ itu belum dapat didedahkan lagi kerana mereka belum menandatangani sebarang kontrak berkaitan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Mei 2018 @ 12:13 PM