FETTY Dzul.
Ridzuan Abdul Rahman


Pada era 1970-an dan 1980-an, nama pelakon Fetty Dzul dikenali peminat kerana sering tampil dengan watak jahat dalam drama dan filem.

Fetty, 60, atau nama sebenarnya Fatimah Abd Rahim begitu laris membintangi pelbagai drama dan wajahnya sering menghiasi akhbar dan majalah ketika itu.

Mungkin ramai juga yang sudah terlupa Fetty antara pelakon terawal terbabit dengan siri drama kepolisan terbitan Datuk Yusof Haslam iaitu Remang-Remang Kota Raya, Harimau Rimba dan Debu-Debu Kota pada 1980-an.

Pelakon ini kemudiannya meninggalkan Malaysia selama empat tahun pada awal 1990-an kerana mengikut Allahyarham suaminya bertugas di Amerika Syarikat.

Apabila pulang ke tanah air, dia menyaksikan kekosongan yang ditinggalkannya sudah diisi pelakon generasi baru ketika itu seperti Normah Damanhuri, Dian P Ramlee dan ramai lagi.

“Tak dinafikan minat saya untuk berlakon tak pernah padam. Saya dulu sebenarnya adalah kakitangan kerajaan. Disebabkan terlalu meminati bidang lakonan, saya curi-curi berlakon.

“Sekarang saya sudah bersara, jadi dapatlah fokus pada lakonan sepenuh masa. Alhamdulillah banyak juga drama yang saya bintangi antaranya telefilem Kamelia Katrina, Ops Cinta Din Sardin, Encik Suami Mat Salih Celup, Demi Cinta Ain dan banyak lagi,” katanya.

Fetty memulakan langkah dalam bidang seni pada 1977. Dia sepatutnya membintangi filem Waja Perkasa arahan Hussein Abu Hassan. Malangnya filem ini tidak jadi diterbitkan.

“Rezeki saya untuk berlakon filem akhirnya kesampaian apabila membintangi filem Malam dan Korban Hari Raya arahan Ahmad Mahmud.

Filem lain lakonan saya ialah Boss (Z Lokman), Pontianak Bidan Gayah (Rahman Adam) dan Hantu Bungkus Lawan Pontianak,” katanya.

Ditanya berkenaan nama komersialnya, Fetty memberitahu, ia dicetuskan oleh wartawan veteran Allahyarham Bahyah Mahmood dan Mustapha AR.

“Saya sebenarnya pergi menunaikan haji pada usia muda. Agak janggal untuk saya menggunakan nama Hajah Fatimah, tambah pula penampilan saya agak daring mengikut trend ketika itu.

“Zulkifli adalah nama suami. Gabungan ini sedap disebut dan terus kekal melekat sehingga sekarang,” katanya yang mempunyai dua anak iaitu Dr Izyani Zulkifli dan Izeti.


FETTY (dua dari kanan) bersama pelakon antaranya Os dan Accapan pada 1980-an.

Mahu terus berlakon

Walaupun semakin dipanjat usia, Fetty amat mementingkan penjagaan kesihatan dan tidak menghidap sebarang penyakit. Dia sentiasa mengelakkan makan nasi secara berlebihan.

“Dengan kesihatan yang baik dan anak-anak pun sudah besar, dapatlah saya kembali aktif berlakon macam dulu. Saya memang nak buat ‘comeback’ dalam lakonan sepenuhnya.

“Bagaimanapun, agak sedih kerana ramai peminat tak kenal saya. Mungkin penampilan saya yang dah bertudung buatkan wajah saya berbeza,” katanya.

Fetty tidak kisah sekiranya diberikan watak nenek yang sesuai dengan usianya. Namun, dia amat kecewa dengan sikap penerbit atau pengarah yang ambil pelakon asal boleh untuk berlakon watak orang tua.

“Kadangkala pelakon berusia 30-an disolek untuk bawakan watak tua dan ini tak sesuai langsung. Apa salahnya ambil pelakon seperti saya untuk bawa watak sebegitu.

“Saya sebenarnya rindu nak berlakon dan bukanlah mengidamkan watak utama atau penting. Bagilah mana-mana watak yang sesuai kerana nak aktif semula seperti dulu.

“Tak kisahlah saya hanya tampil berlakon lima atau enam babak dalam satu drama, janji saya dapat tawaran berlakon tanpa henti,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Mei 2018 @ 4:34 AM