JAY dan Hairi beraksi dalam Bangsawan Dendam Laksamana selepas Aidilfitri.
Amirul Haswendy Ashari


Di pentas teater, dua nama ini tidak perlu diperkenalkan lagi. Kecintaan mereka terhadap arena seni pementasan sudah lama mekar biarpun jarang diperkatakan peminat.

Cinta pada seni teater akhirnya meluaskan pengaruh Jay Iswazir, 36, dan Hairi Safwan, 30, ke dunia lakon TV dan filem.

Terbaru, mereka bakal beraksi dalam pementasan Bangsawan Dendam Laksamana arahan Pat Ibrahim yang akan dipersembahkan di seluruh negara selepas Aidilfitri.

Bercerita mengenai teater yang dipentaskan November tahun lalu itu, Hairi berkata, dia menggantikan Pekin dengan membawa watak utama sebagai Laksamana Megat Sri Rama.

“Tiada masalah bawa watak ini kerana saya pernah beraksi dalam teater Laksamana Bentan yang mempunyai penceritaan sama.

“Namun, apabila menggantikan Pekin, penonton yang pernah menonton pementasan lalu akan membandingkan kami,” kata anak jati Perlis itu.

Menurut Hairi, setiap pelakon ada kekuatan masing-masing malah mereka ada pemahaman tersendiri terhadap watak yang diberi.

Juara Anak Wayang musim pertama itu berkata, untuk faham kehendak semasa pementasan ini, dia banyak melakukan penyelidikan untuk memahami skrip dan latar cerita.

Malah sudah lama dia mengimpikan bekerja di bawah bimbingan Pat.

“Visi dan misi Pat adalah mahu tampilkan pembaharuan dalam seni bangsawan terutama dari segi ‘pacing’ yang lebih rancak.

“Jika dibandingkan seni pementasan bangsawan tradisional, generasi muda mudah berasa bosan,” katanya.

Bagi Jay Iswazir pula, antara cabaran perlu dilalui adalah perbandingan daripada penonton dan peminat teater.

Namun, dia mengakui setiap pengkarya ada kekuatan dan perbandingan adalah perkara biasa.

Katanya, apa yang penting adalah ada ‘air bangsawan’ dalam karya serta memenuhi tuntutan untuk sebuah pementasan.

“Bagus ada nafas baru dalam bangsawan tetapi elemen estetika pementasan wajar dikekalkan.

“Saya teruja dapat bekerja dengan Pat. Saya banyak mengikuti kerja seninya baik dalam teatar muzikal mahupun koreografi,” katanya.

Jay yang memegang watak antagonis sebagai Sri Bijawangsa bersyukur dapat bekerjasama dengan sahabat baiknya, Hairi.

Mereka juga ibarat pesaing sihat dalam dunia pentas teater kerana masing-masing merebut anugerah sempena Festival Teater Kebangsaan untuk pelbagai kategori.

Teater Bangsawan Dendam Laksamana akan memulakan pementasan luar pertamanya di Johor Bahru pada 25 Jun hingga 1 Julai, Melaka (2 hingga 8 Julai), Pahang (9 hingga 15 Julai), Terengganu (15 hingga 21 Julai), Pulau Pinang (22 hingga 28 Julai), Kedah (30 Julai hingga 5 Ogos), Perak (5 hingga 11 Ogos) dan berakhir di Kuala Lumpur pada 29 Oktober hingga 11 November depan.

‘Survival’ Jay dan Hairi

Jay yang juga siswazah Universiti Malaya (UM) mengakui penyertaannya dalam program realiti Pilih Kasih pada 2010 berbaloi kerana menjadi pembuka jalan ke industri hiburan.

“Menerusi platform ini orang industri menerima kehadiran saya. Selepas muncul dalam drama Carlos, peluang semakin terbuka luas.

“Sehinggalan kemuncaknya apabila diberi peluang pegang watak utama dalam telefilem Aku Nazmi awal tahun ini,” katanya.

Selain itu, dia juga mula diberi ruang untuk bermain dengan watak apabila diberi beraksi dalam drama komedi Cinta 100 KG.

Katanya, sikap survival dan adaptasi dengan suasana industri menjadi sebab mengapa dia terus mendapat kepercayaan banyak pihak.

“Syukur, tiga tahun kebelakangan ini saya berpeluang bawa pelbagai watak.

“Untuk kekal relevan, saya akan pastikan sentiasa berkongsi perkembangan terkini dari semasa ke semasa. Apa yang saya jual adalah idea kepada pengarah,” katanya.

Hairi pula yang lahir daripada program Anak Wayang 2009 mula mendapat peluang menonjolkan bakat melalui drama Ular Emas.

Selain itu, Zeel Production juga banyak memberi ruang kepadanya berkarya sebagai pelakon dan pengarah.

Tidak saja selesa di kaca TV, dia juga membuktikan kredibilitinya selepas mengungguli anugerah Pelakon Lelaki Terbaik Kebangsaan di Festival Teater Kebangsaan tahun 2012.

“Banyak peluang dan ruang saya terima sepanjang berada di pentas teater dan komersial. Saya curahkan ilmu keringat dengan cuba membantu orang lain.

“Terutamanya dengan penubuhan persatuan teater Topeng untuk anak seni di utara tanah air yang mendapat dana sumbangan daripada orang perseorangan dan korporat,” katanya.

Jay dan Hairi berkata, jumlah pengikut laman sosial yang tinggi bukan sasaran mereka biarpun itu antara kriteria yang dipandang sesetengah stesen TV.

Kata mereka, rezeki itu milik Allah dan ia tidak pernah salah alamat sama ada memiliki ribuan mahupun jutaan pengikut dalam laman sosial.

“Kami tak peduli pun pasal ramai atau tidak pengikut di laman sosial. Asalkan ada orang dalam industri mengenali serta menghargai hasil kerja kami, itu sudah cukup.

“Kami selalu bersikap positif dan sentiasa cuba mengikut kehendak industri untuk lebih produktif. Selain itu, kena ada juga pendapatan sampingan melalui bisnes dan buat kelas lakonan,” kata Jay.

Menyentuh perancangan masa hadapan, Hairi mahu menyambung pengajian Sarjana Seni Lakon di Aswara. Jay pula sentiasa positif untuk meraih kehidupan lebih baik.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Mei 2018 @ 4:25 AM