ERWIN lebih gemar amal diet bijirin oat dikisar bersama kurma semasa bersahur.
Michelle Gun


Juadah sahur pelakon kelahiran Singapura, Erwin Dawson sepanjang Ramadan cukup ringkas dan berkhasiat.

Menurut pelakon drama bersiri Nafas itu, dia hanya makan bijirin oat yang dikisar dengan kurma setiap kali bersahur.

“Sudah dua tahun saya mengamalkan diet sedemikian untuk sahur. Ikut suka mahu letak beberapa biji kurma. Kadang-kadang saya campur dengan madu,” katanya.

Menurut pengacara program bual bicara Feel Good Show ini, persiapan ringkas itu memberi tenaga mencukupi kepadanya sehingga waktu berbuka puasa.

“Perut menjadi ke­nyang sepanjang hari dan pada masa sama memberi khasiat diperlukan untuk badan,” katanya.

Berkongsi aktiviti­nya sepanjang Ramadan, Erwin berkata, dia mahu banyak meluangkan masanya dengan melakukan ibadah.

“Saya mahu mendalami ilmu agama dengan mengikuti kursus. Menerusi cara ini, saya boleh mendekatkan diri lagi dengan Allah,” katanya.

Selain itu, Erwin turut mengambil cuti pendek untuk kembali ke Singapura dan berjumpa dengan keluarganya.

“Bukan Syawal saja, pada saya Ramadan juga waktu sesuai meluangkan masa dengan keluarga dan rakan,” katanya.

Disebabkan sering berjauhan dengan keluarga­nya, Erwin sentiasa berusaha pulang ke Singapura setiap kali Ramadan dan Aidilfitri.

“Sejak bekerja di Kuala Lumpur, saya jarang bertemu dengan ibu. Jadi, apabila ada cuti, saya pasti balik untuk meluangkan masa bersamanya,” katanya.

Seronok jadi pengacara Erwin turut meluah­kan rasa syukur apabila dilantik sebagai duta ntv7 selepas mengendalikan Feel Good Show terbitan stesen televisyen terbabit.

“Alhamdulilah rezeki saya bertambah murah dan turut diberi kepercayaan membintangi drama bersiri Nafas yang kini bersiaran di ntv7,” katanya.

Berkongsi pengalaman sebagai hos, Erwin melihat bidang itu berpotensi membuka laluan kepadanya mencari pendapatan sampingan sebagai pengacara majlis.

“Pada mulanya memang susah, namun selepas beberapa bulan saya dapat memperbaiki kelemahan. Tambahan pula, produser dan rakan pengacara lain turut memberi tunjuk ajar,” katanya.

Menurut Erwin, tugas sebagai pengacara memang menyeronokkan kerana dapat menyalurkan maklumat berguna kepada penonton.

“Oleh itu, saya berharap ia boleh membuka peluang kepada saya untuk mencari rezeki lebih,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Mei 2018 @ 9:30 AM