FOTO Ihsan IG Noorkhiriah
Norhayati Nordin


PELAKON Noorkhiriah Ahmad Shapie ,41, mengakui dia sedikit pun tidak terasa hati apabila ada segelintir netizen mempersoalkan semula kenyataannya untuk berhenti berlakon, sebelum ini.

Noorkhiriah berkata, memang dia pernah membuat kenyataan itu tetapi tidak dapat menolak untuk kembali berlakon selepas melihat naskhah drama Nur.

"Minat saya pada bidang lakonan tidak pernah pudar meskipun sudah menyepi seketika sebelum ini. Saya tetap rindu untuk berlakon.

"Jadi, apabila pengarah drama Nur, Shahrulezad Mohameddin mempelawa saya dengan memberikan watak Aisyah itu, saya tidak mampu menolak.

"Apatah lagi, selepas memahami plot cerita drama Nur itu dan tuntutan watak Aisyah yang menarik minat saya," katanya.

Noorkhiriah mengakui berpuas hati apabila watak Aisyah lakonannya hebat dikecam netizen kerana ia menunjukkan dia berjaya membawakan karektor itu dengan baik.

"Terima kasih juga pada penonton yang menyambut baik lakonan saya untuk watak Aisyah itu meskipun ada yang geram dengannya.

"Saya sudah cuba sebaik mungkin melakonkan watak Aisyah ini yang berjaya membuatkan penonton geram dan bengang," katanya.

Noorkhiriah juga mengucapkan terima kasih pada penonton dan netizen yang sanggup menghantar komen di media sosialnya.

Dalam drama Nur yang mengangkat kisah pelacur, watak Noorkhiriah sebagai Aisyah dan Azhan Rani dengan watak Ustaz Syed Hamadi teruk dikecam penonton dan netizen.

Drama Nur sebanyak 19 episod itu turut dibintangi Amyra Rosli, Syafiq Kyle, Noorkhiriah dan Fatimah Abu Bakar.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Jun 2018 @ 4:21 PM