MESRA bersama peminat.
MESRA bersama peminat.
ALIF bersama Sha Dila dan anak mereka.
Norhayati Nordin


Lebih sedekad membina nama, baru beberapa tahun ini populariti menjadi milik penyanyi, pelakon dan pengacara, Alif Satar.

Semuanya bermula selepas Alif, 28, membintangi drama Dia Semanis Honey bersama penyanyi dan pelakon Siti Nordiana pada 2016.

Pada tahun itu juga kelab peminat Alif Satar Official (ASOFC) ditubuhkan pada 9 Mei dan dilancar secara rasmi pada September.

Mengakui sokongan peminat menjadi sebahagian daripada pencapaian popularitinya kini, Alif selesa melayan peminat.

“Setakat ini, tidak pula saya pernah berasa terbeban melayan peminat. Apatah lagi, semua peminat saya okey.

“Mereka menghormati kehidupan peribadi saya yang sudah berkeluarga,” katanya.

Menurut Alif, sokongan padu peminat kepadanya dalam beberapa tahun kebelakangan ini juga sangat bermakna.

“Bukan mudah untuk saya berada pada tahap sekarang. Jadi, saya amat menghargai apa yang diperoleh ini.

“Malah, apa yang giat saya lakukan kini adalah berusaha mempertahankan populariti dimiliki kekal di tahapnya.

“Bagaimanapun, terima kasih diucapkan kepada semua ahli kelab peminat saya yang sentiasa aktif memberi sokongan,” katanya ketika ditemui pada majlis berbuka puasa bersama ASOFC di sebuah hotel di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Hadir sama, isterinya, Sha Dila Halid, 34, anak dan ibu bapa Alif.

Menurut Alif, dia sangat berbesar hati dengan sikap ahli ASOFC yang tidak berkira soal kewangan.

“Untuk majlis berbuka puasa ini mereka perlu mengeluarkan wang dan ia berjaya dikumpulkan dengan bersatu hati.

“Apa yang dilakukan ini membuat saya terharu dan begitu menghargai sokongan diberikan. Diam tak diam, kali ini adalah penganjuran majlis berbuka puasa yang ketiga diaturkan ASOFC bersama saya dan keluarga,” katanya.

Ditanya bagaimana dia memastikan ruang peribadinya dan keluarga tidak diganggu peminat, Alif berkata, cukup baginya berkongsi sekadar yang perlu.

“Dalam era perkembangan teknologi masa kini, saya tak nafikan pengaruh media sosial agak besar kepada selebriti.

“Namun, saya sentiasa pastikan berkongsi foto dan aktiviti keluarga yang sesuai bersama peminat,” kataya.

Pada Ramadan ini, Alif muncul dengan drama terbarunya bersama Siti Nordiana, Klik! Pengantin Musim Salju di Astro.

Tidak hanya itu, mereka juga tampil dengan single duet, Sebenarnya dan akan menjayakan konsert bersama di Singapura pada 31 Ogos nanti.

Bangga kejayaan suami

Melihat sejauh mana kerja keras dilakukan Alif untuk memahat kukuh kerjaya seninya, hati Sha Dila amat tersentuh.

Sebagai isteri, ibu kepada dua anak ini mengakui apa yang diperoleh suaminya itu memang layak untuknya.

“Saya melihat susah payah Alif dari mula sehinggalah dia berada pada tahap sekarang. Lebih membuatkan hati saya pilu apabila usahanya dalam lakonan selama ini terbalas apabila menang trofi Pelakon Lelaki Popular di Anugerah Telenovela, tahun lalu.

“Bagi saya, Alif layak menang kerana lakonan dipersembahkannya dalam drama Dia Semanis Honey sangat mantap,” katanya.

Menurut Sha Dila, dia sangat memahami tuntutan kerja Alif dan sentiasa mendoakan kejayaan suaminya itu.

Alif dan Sha Dila mendirikan rumah tangga pada 15 September 2014 dan hasil perkongsian hidup itu mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Alisha Anugerah, 3, dan Ariana Mecca, 1.

Alif baik, merendah diri Tiga tahun penubuhan ASOFC, hingga kini ahli yang sudah berdaftar berjumlah 2,000 orang.

Presidennya, Siti Nurhanum Md Arof berkata, jumlah itu adalah ahli ASOFC di Malaysia saja.

“Ia tidak termasuk ahli ASOFC di Singapura, Brunei dan Indonesia kerana diuruskan presiden yang berbeza.

“Namun, apa yang pasti objektif kami adalah satu iaitu menyokong semua aktiviti kerjaya seni Alif Satar.

“Selama mengendalikan ASOFC, saya bersama ahli kelab peminat yang lain sangat selesa dengan Alif. Dia seorang yang baik, mesra, tidak sombong dan merendah diri. Malah, Alif juga tidak lokek menghulur kewangan untuk ASOFC menganjurkan aktiviti,” katanya.

Menurut Siti Nurhanum, apa saja aktiviti dirancang ASOFC setakat ini sentiasa mendapat sokongan Alif.

Pada majlis berbuka puasa itu, 140 ahli ASOFC hadir menjayakannya termasuk dari Singapura, Brunei dan Indonesia.

Selain berbuka puasa, antara acara lain diatur membabitkan Alif bersama peminat ialah teka lagu, sesi berlakon, video tutorial dan meraikan sambutan hari jadi Alisha.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Jun 2018 @ 6:57 AM