SATU kelainan apabila persembahan berlangsung di luar pentas iaitu di Padang Merbuk.
HM Digital

Fakulti Pengurusan Seni dan Budaya, Akademi Seni Budaya & Warisan Kebangsaan (ASWARA) mencipta kelainan dengan mengadakan pementasan teater di luar panggung iaitu di Padang Merbok, Kuala Lumpur pada 23 dan 24 Jun ini, jam 8.30 malam.

Teater berjudul Dusta Pada Skala 1 hingga 10 adalah karya Dudok atau Yusoff Bakar yang juga Pegawai Kebudayaan di Pusat Pengajian Seni Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang.

Dusta Pada Skala 1 hingga 10 adalah naskhah yang fleksibel dan bijak kerana ia boleh dilakukan di mana-mana dan isunya masih relevan walaupun dalam era yang berbeza.

Naskhah ini diadaptasi daripada siri filem Criminal Minds musim ke 2 menerusi episod bertajuk North Mammon.

Yusoff turut mencedok sedikit idea daripada filem thriller yang popular iaitu Saw.

Teater genre site ini bakal diarahkan oleh Zharif Khan. Ia sesuatu yang jarang dipentaskan di negara kita berbanding negara luar seperti Amerika Syarikat, Australia dan Perancis.

Zharif berkata, Dusta Pada Skala 1-10 ini sebuah naskhah yang merungkai sifat sebenar manusia antara manusia yang lain ketika terhimpit dan berlakunya situasi terdesak yang tidak mampu dibayangkan dengan logik akal.

“Dusta bermaksud berbohong atau melakukan sesuatu yang tidak baik. Skala merujuk kepada tahap ukuran sesuatu perkara.

“Oleh itu, teater ini bermaksud, jika individu ditempatkan dalam situasi yang mendesak, sejauh manakah skala kedustaan mereka antara tahap 1 hingga 10. Latar situasi naskhah tidak ditetapkan.

“Ini kerana ia relevan untuk berlaku di mana-mana masa, waktu dan tempat sekali pun,” katanya.

Pementasan ini bergantung sepenuhnya pada kreativiti Zharif sendiri. Ia menampilkan enam watak utama dan setiap watak mempunyai karakter berbeza yang dibentuk oleh pelakon itu sendiri.

Teater ini dibintangi pelajar jurusan teater ASWARA manakala pengurusan produksi di bawah pimpinan Juara Champion of The World (Senior) World Championships Of Performing Arts 2017 (WCOPA), Amerika Syarikat pada 2017.

Ia membariskan Nur Syafiqah Najwa Jefri sebagai pengurus produksi dan Ahmad Zaidyansjah Ruddyansjah sebagai sinografer. Kedua-duanya berjaya mengharumkan nama Malaysia.

Kini mereka mengekspresikan bakat dalam pengurusan belakang tabir buat julung kalinya bersama pasukan produksi yang terdiri daripada pelajar Tahun 1 Fakulti Pengurusan Seni dan Budaya Aswara.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Jun 2018 @ 5:55 AM