PELENGKAP kerjaya solo, muat 14 lagu sasar pasaran antarabangsa.
Syafil Syazwan Jefri


Enam belas tahun memahat nama sebagai penyanyi mematangkan penyanyi dan komposer terkenal Hafiz Hamidun.

Malah, Hafiz mengakui tempoh itu sudah memadai baginya untuk menamatkan penerbitan album.

“Selepas tujuh album, sudah sampai masanya saya berhenti. Kini, saya dalam proses pembikinan album terakhir,” katanya.

Menurut anak seni berjiwa besar berusia 34 tahun itu, album terakhir itu akan menjadi pelengkap kerjayanya sebagai penyanyi solo.

“Cukuplah album yang pernah saya keluarkan sebelum ini. Namun, itu tak bermakna saya bersara kerana akan terus menghasilkan karya untuk penyanyi lain,” katanya.

Bercerita mengenai album terakhir itu, Hafiz berkata ia memuatkan 14 lagu yang menyasarkan pasaran antarabangsa.

“Saya gelarkan ia sebagai album antarabangsa dan satu ‘masterpiece’ daripada saya. Semua pengalaman yang diraih sepanjang kembara seni ini, saya curahkan dalam album ini.

“Moga album terakhir ini diterima ramai dan bertahan lama. Siapa tahu, mungkin sehingga 10 tahun ke depan nama saya masih dikenali kerana album ini,” katanya.

Penghasilan album itu juga membuktikan komitmennya terhadap dunia seni.

“Banyak hal yang perlu difikirkan sebelum mengeluarkan album. Saya tahu, saat ini ramai penyanyi lebih selesa mengeluarkan satu persatu single tetapi saya fikirkan lebih daripada itu.

“Album ini menunjukkan kecintaan dan komitmen saya terhadap bidang ini,” katanya.

Menurutnya, dengan keputusannya itu dia mahu melangkah lebih sebagai anak seni.

“Apabila berakhirnya penerbitan album untuk diri sendiri, saya harap ada peluang untuk melakukan kerja lain.

“Maksud saya, pergi lebih jauh sebagai anak seni. Saya pernah membuat persembahan di banyak tempat termasuk Istana Budaya.

“Matlamat saya bukan sekadar lagu saya dimainkan di radio dan TV tetapi lebih daripada itu. Jadi, kalau ada rezeki, mungkin saya boleh melebarkan sayap ke luar negara,” katanya.

Bercerita serba sedikit mengenai pengalaman menyambut Ramadan tahun ini, Hafiz berkata tak banyak perbezaan berbanding sebelum.

“Setiap tahun, usia semakin meningkat dan matlamat saya sekarang mahu membahagiakan ibu bapa dan diri sendiri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Jun 2018 @ 5:48 AM