DUA sahabat berkongsi minat yang sama.
Rudy Imran Shamsudin

Bermula sebagai penari, dua bakat muda, Nasurah Hanoom Hanafi Imam atau Naszsally dan Nurhafizah Long Kip @ Thomas (Fiza) memasang impian untuk pergi jauh dalam industri seni tempatan.

Pada saat kebanyakan bakat muda mahu membina nama di layar filem, kaca TV dan media sosial, Naszsally dan Fiza memilih untuk dikenali di pentas teater muzikal.

Menjadikan program realiti dan drama TV sebagai batu loncatan untuk memperkenalkan bakat, kini Naszsally dan Fiza semakin seronok beraksi di pentas teater.

Sebelum ini mereka menjayakan pementasan Ola Bola The Musical dan terbaru, kedua-duanya sibuk menjalani sesi latihan jerayawara teater Bangsawan Dendam Laksamana yang memulakan persembahan di Johor Bahru, Johor, Jun ini.

Ditemui di majlis pelancaran kempen Meriah Bersama Astro, Naszsally berkata, sebelum berlakon dalam drama siri komedi, 3 Dara Kg.com bersama Scha Al-Yahya, Marsha Milan dan Red Velvet, dia terlebih dulu beraksi di pentas teater muzikal terbitan Datin Seri Tiara Jacquelina dan Datuk Hans Isaac.

“Sebelum berlakon drama, saya menjadi penari kebudayaan, malah Fiza juga melakukan perkara sama dan ternyata dunia tarian juga yang membawa minat kami untuk lebih serius ke pentas teater muzikal.

“Sebelum ini saya juga pernah menjadi penerbit untuk teater terbitan Mask Team, mementaskan Juta Juta dan Projek Kahwin. Bagaimanapun, selepas itu saya bawa haluan sendiri dan mahu terus berlakon pentas,” katanya.

Kemunculan ramai pelakon yang jauh lebih muda dan cantik, Naszsally tahu bukan mudah untuk dia menempatkan diri dan persaingan sangat sengit.

“Saya sedar perkara itu, namun satu saja yang saya pegang sepanjang menjadi pelakon iaitu apa saja peluang yang kita peroleh, buat bersungguh-sungguh. Lama-kelamaan, orang akan nampak juga bakat kita.

“Jujur saya tidak mengharap kepada populariti kerana sedar kekurangan diri. Namun, Alhamdullilah setakat ini tawaran kerja tidak pernah putus. Saya suka dengan dunia teater muzikal kerana dapat melakukan tiga perkara yang saya suka dalam waktu sama iaitu menyanyi, menari dan berlakon. Peluang ini tidak akan saya dapat dalam filem mahupun drama TV,” katanya.

Menjelaskan mengenai kemunculannya dalam karakter lawak dan genre drama komedi, Naszsally berkata, ia satu cabaran serta rezeki yang sudah ditetapkan.

Bagaimanapun, pada Aidilfitri nanti, penonton akan dapat menyaksikan watak serius lakonan Naszsally dalam Lamaran Perfect yang bakal disiarkan di Astro. Selain itu, dia turut tampil dalam sitkom Pecah Perut Raya.


LAKONAN Nasz dalam Ola Bola the Musical mendapat pujian ramai.

Fiza pula bukan baru dalam industri seni kerana sebelum itu bakatnya terlebih dulu dicungkil menerusi program realiti Akademi Fantasia 2016 (AF2016). Bagaimanapun, dalam program itu dia menggunakan nama AFI.

“Sebelum menyertai AF lagi saya belajar di Aswara dan mengambil bidang tarian. Sepanjang tempoh pengajian saya sudah banyak terbabit de­ngan beberapa pementasan teater muzikal dan dari situ cinta saya terhadap seni kian mendalam,” katanya.

Berpeluang menjayakan teater Ola Bola dan Bangsawan Dendam Laksamana, ia ibarat memberikan udara untuk dia terus bernafas dalam industri kerana itu kecintaannya.

“Cuma tidak dinafikan kerana mengejar bidang seni pentas, saya hampir lupa lakonan di TV. Begitupun, apabila datang tawaran dan kena dengan masanya saya buat juga. Ambil contoh drama siri Girlfriend Aku Dari Neraka bergandingan di samping Sharifah Sakinah dan Aiman Hakim,” katanya.

Fiza juga tidak menafikan persaingan sangat sengit namun dia percaya dengan bakat yang ada pasti ada peluang untuknya terus bergiat aktif.

“Saya faham kebanyakan pelakon perlu ada pakej lengkap. Namun begitu saya masuk dalam bidang seni ini untuk mencari kepuasan dan bukan mengejar populariti.

“Sebabnya dengan populariti yang ada artis harus memikul tanggungjawab besar. Mereka bukan saja perlu memberikan hasil kerja yang baik, tetapi juga kena menjaga penampilan dan perilaku di hadapan umum,” katanya.

Sempena Aidilfitri nanti, Fiza akan tampil dengan drama khas raya Bini Aku Dari Neraka yang bersiaran di Astro Warna.


FIZA sebelum ini dikenali sebagai Afi di AF2016.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Jun 2018 @ 12:10 PM