Zizan Razak anggap ia rezeki. FOTO SYARAFIQ ABD SAMAD
Syafil Syazwan Jefri


PELAKON, Zizan Razak, 34, ditawar oleh rakannya yang juga pelakon dan penerbit dari Indonesia, Raffi Ahmad untuk menetap di negara jiran itu bagi melebarkan kerjaya seninya.

Zizan atau Mohammad Razizan Abdul Razak berkata, tawaran itu dibuat selepas dia bekerjasama dengan Raffi menerusi filem komedi Peluang Ke Duda sebelum ini.

“Selepas bekerjasama dengannya dalam filem Peluang Ke Duda, dia nampak kemampuan dan sejauh mana saya mampu pergi dalam industri perfileman mereka.

“Kerana itu, dia menawarkan saya untuk menetap di Jakarta kerana ada beberapa perancangan yang dia susun untuk saya,” katanya kepada Harian Metro.

Walaupun menerima banyak tawaran, Zizan tidak mahu menjadi terlalu tamak.

“Tidak mahu terlalu tamak kerana saya takut nanti tak mampu beri komitmen penuh. Apa pun, saya anggap itu adalah rezeki untuk saya,” katanya.

Zizan juga sentiasa berharap pihak pengurusannya di Malaysia dan produksi milik Raffi boleh menyusun jadual supaya lebih banyak peluang terbuka untuknya.

“Saya sangat berharap jadual saya boleh disusun dengan baik dan saya mendapat lebih banyak peluang untuk beraksi di negara itu.

“Saya anggap diri saya bagai artis baru di Indonesia. Malah, seperti bayi baru, saya kena kerja lebih keras,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Jun 2018 @ 5:44 PM