Johan Ishak. FOTO HALIMATON SAADIAH SULAIMAN
Sudirman Mohd Tahir


PROGRAM berita Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad (TV3, 8TV, ntv7 dan TV9) kekal pilihan penonton dengan mencatat jumlah 400 juta tontonan sepanjang Mei lalu sekali gus merangkumi 81 peratus penonton TV.

Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima (MPTN), Johan Ishak berkata, angka itu adalah yang tertinggi pernah dicatat sepanjang tempoh lima tahun.

"Dengan catatan jumlah ini secara tidak langsung, program berita di MPN masih kekal nombor satu. Itulah menjadi sebab kenapa menggabungkan semua (berita) kerana negara kita bermasyarakat majmuk.

"Jumlah yang dicatat juga menunjukkan peningkatan berterusan bukan saja pada malam keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14). Ia juga bukti orang kita kembali menonton berita terutama Buletin Utama di TV3," katanya kepada Harian Metro.

Johan berkata, kejayaan besar ini didorong oleh tiga faktor iaitu ketepatan dan ketelusan berita, kepantasan berita disalurkan dan etika kewartawanan.

"Apabila berlaku perubahan kerajaan, masyarakat memainkan sentimen ini. Jadi, kita mengambil pendekatan dengan melatih untuk menyampaikan berita mengikut etika kewartawanan yang betul.

"Saya berharap perkara ini berterusan sekali gus meletakkan program berita MPTN unggul bukan saja di kaca TV tapi juga medium online," katanya.

Berdasarkan laporan firma penyelidikan pengguna dan media, Nielsen Malaysia juga, Buletin Utama kekal menjadi program berita nombor satu apabila mencatat jumlah tontonan 3.78 juta sehari sepanjang Mei. Ia menunjukkan peningkatan sebanyak enam peratus berbanding April iaitu 3.57 juta.

Sementara itu berita 8TV Mandarin kekal nombor satu apabila mencatat jumlah tontonan 1.3 juta. Mandarin 7 dengan jumlah 900,000 dan Berita TV9 sebanyak 1.7 juta.

Nasional 8 yang disiarkan RTM pula mencatat jumlah 1 juta dan Hari Ini 8 di saluran Awani sebanyak 250,000.

Johan juga berkongsi, portal online daripada Kumpulan NST iaitu Harian Metro Online, BH Online dan NST Online berada dalam kedudukan top 5 sempena PRU 14 iaitu pada 9 dan 10 Mei.

Harian Metro mencatatkan jumlah pelayar 8.4 juta, BH Online dengan 4.8 juta dan NST Online sebanyak 2.6 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Jun 2018 @ 6:45 PM