TENAGA kerja The Hantus yang bertungkus lumus menghasilkan yang terbaik untuk penonton.
Michelle Gun

Telefilem komedi seram The Hantus memaparkan sisi berbeza sekumpulan makhluk halus yang pasti membuat penonton ketawa hingga tak kering gusi.

Plot cerita pula berbeza iaitu disampaikan dalam lima bab yang berhubung kait antara satu sama lain.

Diterbitkan Nabil Ahmad selaku penulis skrip dan pengarah bersama, telefilem ini diinspirasikan daripada kisah seram popular seperti Volkswagen Kuning, Hantu Kak Limah dan taman tema terbiar iaitu Mimaland.

Nabil ketika ditemui baru-baru ini menafikan statusnya sebagai pelawak dan pengacara terkenal sejak satu dekad lalu memudahkan dia menerbitkan The Hantus di Astro First Eksklusif.

Walaupun Astro menjadi tempat dia mencari rezeki, Nabil menegaskan mengikuti saluran dan prosedur sah.

NABIL dan Helmi menjanjikan hanya yang terbaik untuk penonton The Hantus istimewa pada hari raya ini.

“Saya tidak menggunakan orang dalam sebagai jalan pintas untuk mengeluarkan telefilem ini. Sebaliknya, saya bermula dengan membentangkan idea kepada pihak produksi.

“Ketika itu, saya hadir sebagai pengkarya dan bukan selebriti. Kalau skrip saya tidak bagus, mana mungkin Astro mahu luluskan,” katanya.

Menurut Nabil, dia berani mengambil risiko mengeluarkan bajet hampir RM500,000 untuk pembikinan telefilem arahan sutradara Helmi Yusof itu kerana serius.

GANDINGAN hebat Nabil dan Helmi Yusof di kerusi pengarah.

“Menerusi The Hantus, penonton boleh menilai sama ada saya layak bekerja di belakang tabir atau tidak,” katanya.

Dalam pada itu, Nabil berkata, skrip sekuel The Hantus 2 sudah selesai dan perlu menunggu lampu hijau daripada Astro untuk pembikinan.

Sementara itu, penggambaran The Hantus dilakukan di beberapa lokasi sekitar Kuala Lumpur, Selangor dan Melaka selama 14 hari.

THE Hantus turut membabitkan babak kemalangan bas jatuh ke dalam gaung.

Penggambaran turut dijalankan di tapak pesta ria Rawang, Selangor selama tiga hari.

Bagi menampilkan kelainan dan memastikan hasil akhir dizahirkan dengan penuh berkualiti, produksi mengupah 120 orang pelakon tambahan bagi membantu menghidupkan watak hantu dan babak berkaitan.

Selain itu, Kugiran Masdo mempersembahkan lagu Pesta Muda Mudi dalam salah satu babak di pesta ria telefilem ini.

DI sebalik tabir The Hantus.

Kisah lima bahagian

Bab pertama telefilem ini bermula dengan bas dipandu lelaki pekak dan bisu terbabit dalam kemalangan ngeri ketika dalam perjalanan dari Genting Highlands ke Lebuhraya Karak.

Semua penumpang termasuk pemandu terbabit meninggal dunia di tempat kejadian kecuali Fami yang terjaga dalam keadaan berlumuran darah.

Seterusnya, bab kedua memaparkan Fami mendapatkan bantuan daripada pemandu kereta Volkswagen Kuning untuk membawanya ke hospital. Bagaimanapun, Fami belum menyedari pemandu itu adalah makhluk halus kerana tidak mengetahui dia kini berada di ‘persimpangan’ antara dunia dan alam barzakh.

BARISAN pelakon The Hantus (dari kiri) Hannah Delisha, Faizal Hussein, Alif Satar, Namron dan Khatijah Tan.

Kemudian, pemandu kereta terbabit membawa Fami bertemu rakannya iaitu puntianak bernama Kak Pon.

Paling melucukan, tiga sahabat itu mengunjungi sebuah hospital kononnya untuk membawa Fami mendapatkan rawatan, namun akhirnya mereka mengganggu manusia di situ.

Bab ketiga pula menceritakan momen gembira Fami bersama rakan barunya di taman tema dikunjungi pelbagai jenis hantu dan mereka turut berkenalan dengan gadis bernama Dhiya.

Memasuki bab keempat, kisah malang Dhiya bermula sejak dia kecil dan akhirnya dia meninggal dunia akibat terbabit kemalangan ngeri.

DI antara barisan pelakon dan tenaga kerja The Hantus.

Fami mula menyukai Dhiya dan mereka bercinta. Secara kebetulan, pasangan itu perlu sentiasa bersama kerana Dhiya dilihat akan pengsan apabila Fami berjauhan dengannya.

Dalam babak terakhir menyorot kembali kisah Fami sebelum kemalangan dan akhirnya dia tersedar di hospital.

The Hantus diperhebatkan lagi dengan aksi barisan pelakon terkenal Faizal Hussein, Alif Satar, Hannah Delisha dan Khatijah Tan.

Saksikan The Hantus menerusi Astro First Eksklusif, saluran 480 mulai Jumaat ini.

Telefilem ini turut didapati menerusi platform digital On Demand.

MASING-MASING berjaya menghidupkan watak yang diberikan dengan cukup baik dalam The Hantus.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Jun 2018 @ 12:01 PM