PINTU besar yang hanya dipegang oleh ketiga-tiga pekerja sebelum terjatuh. FOTO ihsan Nourul Wahab


“Alhamdulillah saya masih hidup. Tidak dapat saya bayangkan bagaimana anak-anak akan membesar tanpa ibu mereka,” kata penyanyi Nourul Wahab yang berdepan detik cemas apabila pintu masuk di tapak projek pembinaan kondominium mewah di Kuala Lumpur tumbang dan nyaris menghempapnya.

Nourul yang nyaris kehilangan nyawa mendakwa pintu masuk terbabit tumbang apabila tiga pekerja asing tidak memegang pintu itu dengan baik sebelum ia rebah di hadapannya.

"Seorang daripadanya sibuk memandang saya melintas jalan.

"Pintu besar yang berat ini hanya dipegang oleh ketiga-tiga mereka lalu tumbang di atas jalan betul-betul depan saya dalam setengah meter.

"Terima kasih kerana menyelamatkan dan melindungi saya, Allah," tulisnya di Instagram.

Nourul mendedahkan, ketika kejadian dia sedang berjalan kaki ke sebuah bangunan berdekatan tapak pembinaan itu yang tidak jauh dari rumahnya iaitu di kawasan Bukit Ceylon, Kuala Lumpur.

Menerusi gambar yang dimuat naik di Instagram, Nourul sempat merakamkan gambar individu berkenaan.

Sementara itu, Nurul mengaku tidak berpuas hati dengan pembinaan projek itu kerana bunyi bising yang menggangu penduduk sekeliling.

Nourul turut mempersoalkan keperluan pembinaan projek sedemikian memandangkan bandar raya Kuala Lumpur sudah padat dengan bangunan.

"Memang kami tak puas hati pun dengan projek ini. Buat bising setiap hari, tak kira malam siang, awal pagi.

"Dan pada waktu sama siapa perlukan bangunan banyak-banyak dekat Kuala Lumpur ini? Siapa nak duduk lagi? Bangunan yang dah ada ni pun tak penuh," tulisnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Jun 2018 @ 3:07 PM