SHAHEIZY Sam. FOTO arkib NSTP
Syafil Syazwan Jefri
syafil.syazwan@hmetro.com.my


PELAKON Shaheizy Sam, 36, akan melalui pengalaman berbeza dalam sambutan Aidilfitri tahun ini kerana menjelang hari raya ketujuh, dia sekeluarga akan ke Russia untuk menonton Piala Dunia.

“Insya-Allah, kalau semuanya berjalan dengan lancar dan tiada aral melintang, saya akan bawa keluarga termasuk Mommy (ibu) ke Russia untuk menonton Piala Dunia,” katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, dia menyimpan impian itu sejak empat tahun lalu selepas menonton perlawanan akhir.

“Selepas menonton perlawanan akhir antara Jerman menentang Argentina, saya terus berkata kepada diri saya, pada Piala Dunia 2018 saya akan tengok secara langsung di stadium.

“Jadi, dah alang-alang saya pun memang sedang berehat daripada penggambaran, saya curi masa dan susun jadual untuk membawa keluarga ke Russia,” katanya.

Sam kini sedang berehat selepas selesai menjalani penggambaran filem Polis Evo 2 yang memakan masa selama setahun tiga bulan. Dia akan kembali bekerja menjelang Oktober.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Jun 2018 @ 3:20 PM